Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri |
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dibidas keras Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri kerana dikatakan cuba mengheret pihak Istana dalam kemelut politik yang berlaku di negeri ini.
Syed Mohd Johan mengkritik tentang kenyataan Mukhriz yang sebelum itu membawa 'khabar' tentang kemurkaan pihak Istana Anak Bukit sedangkan Menteri Besar itu tidak berhak bersuara bagi pihak institusi DiRaja Kedah itu.
"Saya rasa terpanggil untuk komen ttg statement MB tentang kemurkaan Raja.
"Untuk pengetahuan, Raja atau Sultan mengatasi ketinggian politik. Undang-Undang tubuh Kerajaan Negeri Kedah yang dirafitifikasikan 1948, di bawah payung mahkota KBDYMM Tuanku Sultan Badlishah jelas menyatakan, 'raja-raja Melayu berkecuali dalam politik'.
"Penegasan Ketua Setiausaha sulit DYMM Sultan Kedah juga sudah dizahirkan. Ungkapan rasmi bagi sebarang percakapan, arahan Sultan atau Raja-raja Melayu dipanggil TITAH. Oleh itu 'Perkhabaran' yang disebut didalam kenyataan akhbar tersebut tidak boleh digunapakai dan juga tidak sah dari segi perundangan," tulis Syed Mohd Johan di Facebook beliau.
Peguam tersebut juga mendakwa kenyataan Mukhriz itu sengaja dibuat untuk mengaitkan pihak Istana untuk menyelamatkan jawatan Menteri Besar Kedah yang disandangnya.
"INI adalah politik terdesak didalam cuba mengaitkan sebarang rungutan Raja-Raja Melayu kononya 'murka' atau marah dengan tindak-tanduk ahli politik adalah satu perbuatan yang cuba memalitkan istana dengan bidang yang mereka sendiri adalah 'mengatasinya'..iaitu berada lebih tinggi darinya," tulisnya lagi.
Justeru itu, Syed Mohd Johan memberi amaran kepada Mukhriz supaya bertindak mengikut lunas perlembagaan dan prinsip demokrasi, serta tidak lagi cuba mengaitkan pihak Istana semata-mata untuk mempertahan kepentingan politik peribadi beliau.
"Tingkahlaku dan protokol perbuatan raja-Raja yang mulia digerakkan atas adab Perlembagaan, sesuai dengan konsep Raja berpelembagaan..
"Jangan menjebakkan istana hanya kerana 'kemaruk kuasa'..jangan rendahkan institusi diraja kerana kelak nanti terkena 'tulah'," tulisnya. -Kedahnews.com