Mukhriz Singkap "Tembelang" Sebenar Diri, Kata Syed Mohd Johan Rizal


ALOR SETAR - Serangan-serangan yang dilakukan oleh Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir terhadap penggantinya bagi jawatan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah dan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dianggap sebagai mempertontonkan 'tembelang' sebenar Adun Ayer Hitam itu.

Malah Mukhriz dan kem beliau yang berterusan melakukan serangan peribadi terhadap Ahmad Bashah itu juga disifatkan sebagai 'klise' seperti "baling batu sembunyi tangan".

"Jika serangan peribadi dan usaha memperlekeh dihangatkan secara berterusan, saya yakin, secara prinsip moral, akhlak, maka Mukhriz telah menzahirkan watak tembelang dan kenakalan sebenar dirinya, seperti era persekolahannya dulu.

"Satu perbuatan klise yang bersifat, 'baling batu sembunyi tangan'. Dan jika ini berlarutan, kerja pakatan pembangkang menjadi mudah. Mukhriz ternyata masih gagal untuk menghayati prinsip berjemaah dalam organisasi dan sanggup pula membelakangkan 'imam baru' yang dilantik.

"Jika dahulu semasa beliau menjadi imam, ramai makmum boleh merendahkan ego dan sedia taat dibelakangnya, namun mengapa kita setelah ditakdirkan menjadi makmum, beliau tidak mampu berbuat sebegitu rupa?," persoal Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.
Menulis dalam entry terbaru bertajuk 'Bila tabii disingkap, tembelang pun terungkap', beliau di blognya membidas keras beberapa tindakan Mukhriz dan pengikut bekas Menteri Besar itu yang memburuk-burukkan imej Menteri Besar yang baru dilantik.

Ahmad Bashah dikatakan 'meniru' Mukhriz mengadakan program "Malam Cinta Rasul", sedangkan kata Syed Mohd Johan bahawa program berkenaan adalah anjuran pejabat daerah yang turut menjemput Menteri Besar Kedah tersebut.

Lagipun kata beliau, program berkenaan adalah sebuah program ibadah yang baik dan wajar diteruskan oleh sesiapa sekalipun, serta "bukan milik peribadi" Mukhriz.

"Jentera media sosialnya terus melancarkan perang gerila, entah gerombolan mana pula dimanipulasi dan diperalat bagi membolak-balik bendera parti, lambang panji perjuangan selama ini.

"Apabila Dato' Seri Ahmad Bashah menghadiri program Malam Cinta Rasul di Sungai Petani, anjuran Pejabat Daerah, dituduhnya pula sebagai tindak-tanduk meniru Mukhriz semata-mata.

"Dalam amalan beragama, jika yang ditiru itu prinsip amal maaruf nahi mungkar, bukankah satu kebaikan yang nyata dan wajar diteruskan?

"Apakah Malam Cinta Rasul itu milik peribadi Mukhriz? Jika benar, anjurkan saja amalan 'ibadah' bernama 'Malam Cinta Mukhriz'. Pahala beramal ibadah adalah eksklusif milik beliau seorang? Namun itulah tahap pemikiran kem Mukhriz," tulis beliau lagi.

Mukhriz sebelum ini melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar setelah Jemaah Pemangku Sultan dalam hasil siasatan memutuskan majoriti Adun Kedah hilang kepercayaan pada beliau dan memperkenan Ahmad Bashah untuk mengambil alih jawatan tersebut pada 4 Februari lalu.

Mengumumkan perletakan jawatan, Mukhriz dalam kenyataan akhbarnya sempat memperlekeh Ahmad Bashah di khalayak ramai apabila berpesan pada penggantinya itu  supaya "tidak terlena" sewaktu di majlis angkat sumpah di Istana Anak Bukit.

Sila layari kritikan dan tulisan penuh Syed Mohd Johan Rizal terhadap Mukhriz di laman blognya di link ini (klik di sini). -Kedahnews.com