Nurul Izzah Anwar bersama rakan karibnya, Tian Chua |
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendakwa empat Adun daripada parti itu memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum pemimpin itu melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah pada Februari lalu.
Nurul Izzah berkata, PKR menyokong pimpinan Mukhriz di Kedah kerana tidak ada yang tidak kena dengan pemimpin Umno itu.
"Ya keempat-empat Adun kami berbuat demikian," katanya ringkas selepas himpunan Bebaskan Anwar di hadapan penjara Sungai Buloh kelmarin.
Empat Adun berkenaan ialah Adun Bukit Selambau, R Krishnamoorthy; Adun Bakar Arang, Ooi Tze Min; Adun Sidam, Robert Ling dan Adun Lunas, Azman Nasruddin.
Ketika ini 21 kerusi Dun dipegang BN, Pas (8), PKR (4), DAP (2) dan Parti Amanah Negara (1).
Krisis politik di Kedah yang berakhir pada tiga Februari lalu, memperlihatkan Mukhriz hanya mampu memegang jawatan itu selama tiga tahun.
Tanda-tanda kedudukan Mukhriz goyang bermula pada 20 Januari lalu setelah hampir seluruh kepimpinan Umno Kedah, termasuk Adun dan ahli Parlimen daripada Umno menyatakan secara terbuka bahawa mereka hilang keyakinan terhadap Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Umno Kedah.
Pendirian itu disuarakan oleh Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai wakil, selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan hampir kesemua Adun dan ahli Parlimen Umno Kedah.
Kini Ahmad Bashah memegang jawatan menteri besar yang baharu sepelas mengangkat sumpah pada Khamis lalu.
Sumber: Sinar Harian