"Ola Bola" Cetus Fenomena "Bukan Sekadar Bola" Kaum Di Malaysia

KUALA LUMPUR – Filem ‘Ola Bola’ arahan Chiu Keng Guan, bukan sekadar filem, tapi ia dilihat berjaya mencetuskan satu fenomena untuk mengukuhkan lagi perpaduan kaum di Malaysia.

Mereka yang telah menonton filem berdurasi 102 minit itu, pastinya teruja, ada yang menangis, tersenyum puas, bersemangat dan yang paling penting turut memberikan komen yang cukup patriotik.

“Ia mengembalikan memori lama, tidak pernah saya menyaksikan pawagam bergema dengan tepukan penghargaan dari penonton,” kicau seorang pengguna laman Twitter, Lee Hui Seng.

Selepas ditayangkan sejak 28 Januari lepas di 120 pawagam di seluruh negara, filem itu berjaya mencapai kutipan mencecah RM12 juta pada hari ke-18 tayangannya.

Peminat bola sepak, Poo Lup Meng, 25; yang menonton filem tersebut, berkata beliau kini semakin bangga menjadi rakyat Malaysia.

“Saya bangga melihat kiri dan kanan pawagam dipenuhi penonton yang berbilang kaum, perpaduan di negara ini masih lagi kukuh.” katanya.


Menurut Mohamad Azli Abdullah, seorang guru di utara tanah air, pula banyak babak yang buat penonton secara spontan bersama-sama melaungkan ‘Gol!’, situasi yang penuh semangat kekitaan, dan seolah-olah berada di dalam stadium menyaksikan perlawanan secara langsung.

“Bola sepak memang tidak pernah membezakan warna kulit dalam menjulang bendera negara,” katanya yang mahu lebih banyak filem mahupun drama TV bertema sama dibuat untuk tatapan umum.

Adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Nazir Razak yang turut menonton filem tersebut dan mengimbau kembali kenangan menonton perlawanan bola sepak bersejarah itu di Stadium Merdeka.

Status di Instagramnya menyebut: “More importantly it was a powerful reminder of a better Malaysia back then.” (Lebih penting lagi ia adalah satu peringatan penuh bermakna bahawa Malaysia adalah yang lebih baik ketika itu.)

“Corruption subsequently damaged our football. Corruption and racism has undermined our nation-building.” (Rasuah kemudian merosakkan bola sepak kita. Rasuah dan perkauman menjejaskan proses membina bangsa negara), kata Nazir, Pengerusi CIMB Group yang sedih dengan situasi itu.

“Babak yang paling terkesan di hati saya sebagai peminat bola sepak adalah ketika pasukan kebangsaan mengetahui Malaysia memboikot Sukan Olimpik.

“Namun demi penonton yang memenuhi stadium dan maruah negara, mereka tetap menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi,” kata Pravin Ganesan, 32; seorang penonton filem itu yang ditemu bual penulis.


Mengangkat tema kesukanan, setiakawan dan kerjasama, filem ‘Ola Bola‘ itu berlatarbelakangkan kehidupan sebenar masyarakat Malaysia pada era 1970-an dan 1980-an.

Bagaimanapun dalam filem berkenaan ketika separuh masa perlawanan, pasukan kebangsaan dikejutkan dengan berita Malaysia memboikot temasya Sukan Olimpik 1980 kerana tidak bersetuju dengan serangan Moscow ke atas Afghanistan, sekali gus membuatkan usaha mereka selama ini ibarat sia-sia.

Namun pemain negara tetap bersemangat berjuang sekalipun mereka sedar kemenangan itu tidak akan membawa mereka ke Moscow.

“Kita menang sama-sama, kita kalah pun sama-sama,” dialog penyerang Ahmad Ali watak penyerang yang dilakonkan Luqman Hafidz kepada rakan sepasukannya.

‘Ola Bola’ juga bermain dengan perasaan penonton apabila isu konflik dalam keluarga dibangkitkan. Ini dapat dilihat ketika beberapa watak menghadapi tentangan daripada keluarga masing-masing kerana menganggap karier sebagai pemain bola sepak tidak akan menjamin masa depan.


Rangkuman aspek-aspek yang ditonjolkan dalam filem ini termasuklah perbezaan bahasa, agama, budaya dan kelas sosial membuatkan filem unik ini berjaya mencetuskan minat hampir semua yang memanggil diri mereka rakyat Malaysia.

‘Ola Bola’ yang diilhamkan dari kisah sebenar ini menampilkan lakonan hebat Bront Palarae serta barisan pelakon baharu yang mempunyai bakat besar seperti Luqman Hafidz, JC Chee, Eric Teng, Saran Kumar, Haris Zainuddin dan Lim Jian Wen. – BERNAMA