KUALA LUMPUR – Pahlawan negara, Kapten (B) Hamid Awang yang pernah bertempur menentang komunis di Sarawak ketika mempertahankan tanah air pada 1973, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, di sini.
Anak sulungnya, Eranza, 43; berkata ayahnya, Hamid, 68; meninggal dunia pada pukul 10.50 pagi semalam akibat kegagalan buah pinggang.
“Ayah telah mendapatkan rawatan di hospital itu sejak Isnin lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Katanya, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Khalid Al-Walid di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Negeri Sembilan selepas solat Jumaat.
Hamid pernah menerima Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa ketika berusia 26 tahun.
Pingat berkenaan dikurniakan kepadanya sebagai tanda menghargai keberanian dan kegagahan beliau sewaktu mengetuai kumpulan yang terdiri daripada lapan anggota, memburu pengganas komunis di Bahagian Pertama Sarawak.
Pasukan itu menemukan satu perkhemahan musuh yang kekuatannya tidak diketahui. Dengan tiga anggota saja, Hamid menyerbu perkhemahan berkenaan setelah kepungan dibuat.
Ketika itu Hamid yang berasal dari Terengganu bertugas dengan Rejimen Kedua Askar Melayu Diraja dan bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 1975.
Pingat itu adalah anugerah tertinggi dalam darjah-darjah perkasa dan yang paling kanan dalam senarai keutamaan anugerah Persekutuan.
Bintang kehormat itu dikurniakan kepada individu yang menunjukkan keberanian luar biasa. Ia turut disertai dengan elaun.
Menurut laman web bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menetri, sehingga kini 24 individu dikurniakan pingat itu sejak tahun 1963. – BERNAMA