Parti-Parti Komponen Ikrar Berganding Bahu Dengan Ahmad Bashah


KUALA LUMPUR - Pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) berikrar akan bekerjasama dengan Menteri Besar Kedah yang baharu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yakin Ahmad Bashah mampu menerajui negeri Kedah dengan baik kerana beliau mendapat sokongan dan kepercayaan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu.

Katanya Ahmad Bashah mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negeri itu selain mengetahui asam garam politik tanah air.

"Ahmad Bashah antara pemimpin yang "popular" dalam kalangan rakyat Kedah, jadi rakyat akan terus memberi sokongan kepada beliau," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Dr Wee berkata sebagai parti komponen utama, MCA akan terus berganding bahu dengan Ahmad Bashah bagi membantu beliau mentadbir negeri jelapang padi itu.

MIC pula berharap kemelut politik Kedah akan selesai dengan pelantikan Ahmad Bashah dan mengorak langkah ke hadapan bagi meraih keyakinan rakyat Kedah terhadap BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S.K. Devamany percaya Ahmad Bashah dapat memberi impak positif kepada rakyat Kedah dengan menggunakan pengalaman luas yang beliau miliki.


Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan Dr Cheah Soon Hai pula menyifatkan pelantikan Ahmad Bashah selaku Menteri Besar Kedah yang baharu mampu membawa pembangunan pesat kepada negeri itu.

Katanya, pengalaman Ahmad Bashah sebagai ADUN selama lima penggal, Exco kerajaan negeri dan sebagai timbalan menteri sejak 2013, akan membantu Kedah mencapai lebih banyak kejayaan dalam semua aspek.

Presiden myPPP Tan Sri M. Kayveas pula yakin meskipun kepimpinan di Kedah berubah, parti itu akan terus bersama memperjuangkan kebajikan rakyat di negeri jelapang padi itu.

"myPPP mempunyai hubungan yang baik dengan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan kami juga mengenali Ahmad Bashah lebih lama daripada Mukhriz. Jadi, kami boleh bekerjasama sebagai satu pasukan," katanya kepada Bernama, semalam.

Beliau berkata pihaknya juga akan bersama dengan kepimpinan baharu negeri dalam mengukuhkan kedudukan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Ahmad Bashah, hari ini diumumkan sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu bagi menggantikan Mukhriz, berkuat kuasa esok.

Ia susulan pengumuman peletakan jawatan Mukhriz yang telah hilang sokongan majoriti wakil rakyat di negeri itu. - BERNAMA