PAS Tidak Sertai Himpunan Anti-Najib, Kata Abdul Hadi Awang

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR – PAS menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menyertai sebarang himpunan bagi mendesak Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak menyertai perhimpunan anjuran bekas pemimpin PKR dan juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

“Orang UMNO kita (PAS) hendak berbaik. Ada pun parti UMNO sudah banyak (buat) kesilapan. Saya tidak mahu terlibat dalam himpunan (anti-Najib),” katanya kepada sebuah portal berita.

Zaid yang pernah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini mengumumkan akan menganjurkan satu perhimpunan bagi menjatuhkan Perdana Menteri pada 27 Mac ini.

Pengumuman beliau itu disambut baik oleh pemimpin pembangkang dan kumpulan penentang dalaman UMNO termasuk Lim Kit Siang dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Zaid kemudian berdolak dalik mendakwa beliau cuma mahu membuat satu acara ‘tertutup’ dan atas ‘jemputan sahaja’ kepada kira-kira 1,000 orang.

“Saya tidak pernah kata ia akan menjadi protes jalanan atau perhimpunan awam. Saya bukannya seperti Bersih,” tulis Zaid dalam tweetnya. –Kedahnews.com