Wahab dan Noriah menunjukkan kuih kapal terbang yang telah mereka siapkan untuk dijual. |
SIK - Sepasang suami isteri terpaksa menerima hakikat yang mereka perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu sehingga akhir hayat disebabkan kegagalan fungsi buah pinggang.
Wahab Zakaria, 59, yang tinggal di Kampung Felda Teloi Timur mula menghidap masalah tersebut pada 1999 selepas dikurniakan tujuh anak hasil perkongsian hidup dengan isteri tercinta, Noriah Ismail, 57.
Pasangan ini berkahwin pada tahun 1977 dan pada masa itu, Wahab masih lagi kuat melakukan kerja seharian bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.
Menurut Wahab, bagaimanapun kini dia tidak lagi mampu melakukan kerja berat berikutan masalah buah pinggang yang dihadapinya.
“Selain rawatan dialisis setiap Ahad, Selasa dan Khamis, saya juga kena buat rawatan fisioterapi sebab tangan tak boleh gerak,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Wahab berkata, disebabkan tidak boleh melakukan kerja berat, dia dan Noriah terpaksa mengambil tempahan membuat kuih kapal terbang.
“Saya dan isteri jana pendapatan untuk tampung diri sendiri dan dua lagi anak yang masih belajar,” katanya.
Noriah yang mula menghidap masalah buah pinggang pada 2011 turut membantu suaminya menyediakan tempahan.
“Kami guna peluang sewaktu dapatkan rawatan dialisis untuk ambil tempahan dari doktor, jururawat dan rakan-rakan yang dapatkan rawatan,” katanya.
Ditanya tentang bantuan, pasangan ini mengakui tidak pernah menerima bantuan dari mana-mana pihak.
“Kami lebih suka berusaha sendiri, cuma sekarang dah tak mampu nak buat kerja berat.
“Kami mampu dapat sekitar RM600 sebulan hasil jualan kuih kapal terbang ini.
“Pendapatan yang diperoleh ini kami gunakan untuk menyara perbelanjaan harian sekeluarga,” katanya.
Pasangan ini juga terpaksa menyewa kenderaan untuk pergi ke hospital.
“Kos nak pergi hospital agak tinggi memandangkan kami berdua kena pergi tiga kali seminggu.
“Kalau tak pergi tahap kesihatan akan terganggu dan tak larat nak buat kerja,” katanya.
Sumber: Sinar Harian