Payung Gergasi Mungkin Bakal Dipasang Di Sekitar Masjidil Haram


MAKKAH – Jemaah yang mahu melakukan tawaf di Masjidilharam atau pun yang menunaikan solat di sekeliling Kaabah dijangka boleh melakukan ibadah tersebut dengan lebih selesa pada masa hadapan.

Ia berikutan timbul cadangan serius untuk pemasangan beberapa payung gergasi di sekitar kawasan laluan tawaf tersebut oleh pihak berkuasa Arab Saudi yang akan menjadi kenyataan tidak berapa lama lagi.

Cadangan untuk memasang payung raksasa berkenaan seperti yang terdapat di perkarangan Masjid Nabawi di Madinah dilaporkan masih dalam peringkat kajian tetapi ia tidak mustahil untuk dilaksanakan.

Menurut laporan media tempatan, perkara tersebut dibincangkan selepas Ketua Majlis Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais berbincang dengan wakil daripada pihak Kementerian Kewangan.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri jawatankuasa projek Masjidilharam di pejabatnya beberapa hari lalu, namun butiran terperinci mengenai kos dan tempoh penyiapan tidak pula dijelaskan dengan lebih terperinci.


Payung berbentuk kelopak bunga di Masjid Nabawi itu bukan sahaja amat berguna untuk melindungi jemaah berusia daripada sinaran terik matahari, khususnya pada musim panas, malah ia juga menjadi tarikan unik.

Projek dibincangkan pada mesyuarat itu termasuk pembinaan perpustakaan di dalam kompleks Masjidilharam yang kini sudah diperbesarkan untuk menampung lebih sejuta jemaah. – Agensi