Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar |
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Islam tidak sekali-kali membenarkan mana-mana orang Islam memaksa orang bukan Islam memeluk agama itu, malah Islam mengajar umatnya menghormati penganut agama lain.
“Islam mempunyai jurisprudensnya sendiri dalam isu pemelukan agama Islam oleh orang bukan Islam.
“Orang bukan Islam yang memeluk agama Islam atas kerelaan sendiri amat disanjung oleh agama dan mendapat beberapa kelebihan berbanding orang Islam berdasarkan nasab seperti diampun dosa lampau sebelum Islam serta layak menerima zakat.
“Namun ini tidak bermakna mereka boleh dipaksa memeluk Islam,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sebuah portal berita propembangkang semalam melaporkan, Presiden Hindu Sangam Malaysia (MHS). Datuk R.S. Mohan Shan, mendakwa kira-kira 7,000 orang berada dalam dilema akibat status agama dalam dokumen rasmi pengenalan diri mereka.
Ia merujuk kepada mereka yang didokumentasikan sebagai beragama Islam namun mengamalkan cara hidup Hindu kerana tidak dapat mengubah status mereka.
Dakwa beliau, masalah itu meluas di seluruh Semenanjung Malaysia dan melibatkan individu yang kebanyakannya berpendapatan rendah yang mengamalkan agama Hindu tetapi didokumenkan sebagai Muslim.
“Kebanyakan adalah mereka yang didaftarkan sebagai Islam oleh ibu bapa mualaf selain mereka yang tersilap didaftarkan sebagai Islam oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” dakwa Mohan Shan.
Sehubungan itu, Zainul Rijal berkata, PPMM menawarkan khidmat guaman syarie sekiranya benar terdapat bukan Islam yang dipaksa memeluk Islam atau pemelukan Islam mereka dibuat tidak selari dengan kehendak hukum syarak.
Katanya, PPMM bersedia meneliti setiap kes jika dirujuk bagi mempastikan konsep kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan terjamin.
“Telah diputuskan oleh Mahkamah Tertinggi negara secara tuntas bahawa pemelukan Islam adalah isu agama Islam dan mahkamah yang berbidangkuasa mendengarnya adalah mahkamah syariah.
“Tidak ada jalan lain selain dari memohon suatu perintah di mahkamah syariah. Tidak timbul persoalan mereka tidak Islam dan tidak perlu pergi ke mahkamah syariah kerana dari sudut undang-undangnya selagi perkataan Islam itu wujud di kad pengenalan mereka, mereka hendaklah disifatkan sebagai Islam,” katanya.
Beliau menjelaskan, bagi anak berumur bawah 18 tahun pula Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa ibu atau bapa atau penjaga boleh menentukan agama anak mereka dan ia juga selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan hukum syarak. – mynewshub.cc
“PPMM mengesyorkan “Hindu Conversion Action Team” tampil memberikan perincian 7,000 kes yang didakwa mereka satu persatu agar dapat diperhalusi dan tindakan susulan diambil jika benar dakwaan tersebut,” katanya. –Kedahnews.com