Pemuda DAP Mahu Perkasa Bahasa Mandarin Di Kalangan Belia - Firdaus

Ketua Pemuda DAP Pandan, Mohamad Firdaus
KUALA LUMPUR – DAP Pandan mengambil inisiatif memperkasakan Bahasa Mandarin di kalangan generasi muda negara masa kini dengan menganjurkan kelas-kelas pembelajaran bahasa berkenaan untuk mereka.

Ketua Pemuda DAP Pandan, Mohamad Firdaus berkata, pihaknya menerima banyak permintaan daripada golongan muda supaya DAP membuka kelas belajar Bahasa mandarin untuk mereka.

“Pemuda DAP Pandan telah berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Tiew Way Keng serta Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Penganjuran kelas belajar Bahasa Mandarin turut disokong oleh badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Belia Teratai,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Way Keng dalam kenyataan sama berkata, inisiatif oleh Pemuda DAP Pandan itu sangat bagus kerana kebolehan menguasai pelbagai bahasa penting untuk golongan muda.

Kelas Pembelajaran Bahasa Mandarin oleh DAP Pandan adalah dari Mac hingga Disember 2016 pada setiap hari Jumaat dari pukul 9 hingga 10.30 malam.

Yuran komitmen sebanyak RM50 dikenakan tetapi akan dipulangkan pada akhir sesi pembelajaran untuk pelajar yang mencapai 100 peratus kehadiran. –Kedahnews.com