Pengetua SMA As-Saddiqiah Kesal Pihak Kutip Derma Tanpa Kebenaran

PADANG TERAP - Pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) As Saddiqiah, Padang Kerasak yang terbakar Isnin lalu, kecewa apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan mengutip derma tanpa kebenaran pihak pengurusan sekolah.

Mohd Sidek Junus berkata, beliau dimaklumkan terdapat kes di Johor Bahru oleh pihak cuba mengutip derma bagi membiayai sekolah itu selepas berlakunya kebakaran.

“Saya kecewa apabila dimaklumkan bekas pelajar di sekolah ini yang tinggal di Johor Bahru. Saya segera menghubunginya bagi mendapat kepastian. Difahamkan pihak berkenaan cuba melakukan kutipan pada keesokannya selepas kebakaran sekolah.

“Perkara sama juga terjadi di Lembah Klang apabila pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan mendakwa pihaknya melantik pihak berkenaan untuk mengutip derma bagi membina sekolah ini,” katanya.

Menurut Mohd Sidek, sehingga hari ini pihak pengurusan belum lagi melantik wakil untuk mengutip derma bagi membina sekolah ini, terutamanya di kawasan luar negeri ini.

Oleh itu pihak sekolah berharap pihak yang ingin menghulurkan sumbangan perlu berhati-hati supaya sumbangan dapat disalurkan kepada yang betul.

Bagi mereka yang ingin menderma bolehlah menyumbangkannya kepada Pengerusinya, Abd Halim@Mohamad Nor Murad di Bank Islam (02075010014096) atau menghubungi Mohd Sidek di talian 0195195944.

Isnin lalu, dua bangunan asrama pelajar lelaki SMA As Saddiqiah terbakar dan kini pelajar terpaksa pulang ke kampung masing-masing bercuti sehingga Sabtu ini.

Tambahnya, pada minggu depan pelajar akan ditempatkan di asrama sementara supaya dapat mengikuti kembali pelajaran selepas terjejas akibat kebakaran itu.

"Alhamdulillah sehingga kini kami terima pelbagai sumbangan bagi membiayai semula bangunan yang terbakar itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Kedah, Datin Norasimah Md Nowar berkata, pihaknya terharu dengan kejadian itu hingga menjejaskan pembelajaran pelajar di sekolah berkenaan.

"Bagaimanapun kami akan berusaha mengumpul dana di 15 bahagian Puteri supaya dapat disalurkan kepada sekolah," katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada sekolah tersebut bersama beberapa ketua Puteri bahagian, semalam.