Penyokong Mukhriz Dakwa Kain Rentang Dicabut Anti-Mukhriz


ALOR SETAR - Puluhan kain rentang menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di sekitar bandaraya ini lesap dipercayai dicabut pihak tertentu.

Tinjauan media di beberapa kawasan di sini semalam, mendapati kain rentang yang mula dipasang sejak pagi kelmarin hilang.

Menurut sumber yang dipercayai penyokong Mukhriz, perbuatan mencabut kain rentang itu telah dirancang awal dan dilakukan kumpulan anti-Mukhriz akibat bimbang dengan sokongan yang diterima menteri besar itu.

Sabtu lalu, dalam tinjauan yang dilakukan media mendapati puluhan kain rentang yang menyatakan sokongan kepada menteri besar itu dipasang di kawasan beberapa jalan utama di sini dan sekitar Stadium Darulaman.

Kebanyakan kain rentang yang dipasang mempertikaikan mengapakah menteri besar itu harus ditukar sedangkan rakyat di negeri berkenaan masih memerlukan khidmat Menteri Besar dari parti UMNO itu.

Antara ayat yang ditulis pada kain rentang yang ditemui seperti ‘Rakyat Kedah masih memerlukan Datuk Seri Mukhriz’, ‘Rakyat Kedah sentiasa Bersamamu’ dan ‘BN menang PRU 13 pasai Mukhriz, tiba-tiba nak tukaq dia pulak’.

Selain itu, satu lagi kain rentang yang digantung di persimpangan di antara Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Gangsa di sini ditulis ‘Sapa kata susah nak jumpa MB? Kami rakyat senang ja jumpa, rata dia dok pi’.

Sementara itu, turut dikatakan bahawa kain rentang itu tidak mendapat kelulusan dari pihak berkuasa tempatan dan berkemungkinan diturunkan pihak tertentu atas sebab tersebut.- Kedahnews.com