Permainan Propaganda Rafizi Dijangka Jejaskan Pendeposit Tabung Haji


KUALA LUMPUR – Perbuatan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyebarkan propganda menerusi pelbagai tuduhan tidak berasas ke atas Tabung Haji (TH) dikatakan bertujuan melemahkan institusi umat Islam tersebut.

TH dalam satu kenyataan media memberitahu, pelbagai dakwaan yang dilemparkan oleh pakar propaganda pembangkang itu mengenai TH di media sosial turut memberi kesan negatif kepada para pendeposti institusi berkenaan.

“TH amat kesal dengan penyebaran dokumen-dokumen melalui laman sosial secara rambang dan tuduhan tidak berasas serta berunsur fitnah.

“Dakwaan tersebut memberi impak negatif kepada TH dan akan menjejaskan kepentingan para pendepositnya,” kata kenyataan itu hari ini.

TH berkata demikian bagi merujuk kepada propaganda terbaru Rafizi kononnya TH memberi jaminan korporat kepada syarikat bersekutunya TH Heavy Engineering Bhd (THHE).

Rafizi mendakwa pelaburan TH dalam THHE akan mengalami kerugian sebanyak RM1.4 bilion.

Beliau turut menyebarkan salinan sepucuk surat kononnya daripada kerajaan kepada pegawai kanan TH pada 8 Disember 2015 berkaitan perkara itu berjumlah sehingga AS$228.2 juta.

Sehubungan itu, TH dalam kenyataan sama hari ini meminta Rafizi menamakan bank yang memberikan pinjaman kepada THHE dengan surat jaminan korporat TH seperti yang didakwa berkenaan.

TH turut membuat laporan ke atas Rafizi demi menjaga kepentingan institusi yang cukup penting untuk umat Islam negara ini tersebut. –Kedahnews.com