ALOR SETAR – Lebih 20 pemandu pengangkutan awam sepakat membantah cadangan kerajaan untuk memperkenalkan semula sistem mata demerit kesalahan jalan raya (Kejara) serta meningkatkan kadar saman.
Pengerusi Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM), Sa’adan Man berkata, pendekatan itu bukan sahaja tidak mampu atasi masalah kemalangan jalan raya, malah menambahkan lagi bebanan rakyat.
“Sistem Kejara pernah dilaksanakan dan dimansuhkan pada suatu ketika dahulu, kini ia nak dihidupkan semula. Sepatutnya bila kita dah bayar saman, habislah cerita.
“Sedangkan apabila sistem Kejara dilaksana, lesen bakal digantung jika mencapai limit yang ditetapkan,” katanya selepas mengadakan demonstrasi di Stesen Bas Shahab Perdana, di sini, semalam.
Menurutnya, penggantungan lesen itu secara tidak langsung jejaskan sumber rezeki pemandu berkenaan, terutama dalam soal menyara kehidupan keluarga.
“Kita bukan nak protes kerajaan, tapi harap suara ini sampai kepada pihak berkenaan. Kita kena pakat-pakat jaga negara ini, hak kita bersama.
“Kalau lesen digantung, di mana kami nak cari makan. Kerajaan kena fikir semula perkara ini. Kita minta sistem kejara ini tidak perlu buat, jangan terlampau zalim,” katanya.
Sa’adan berkata, pelaksanaan sistem Kejara akan menambahkan lagi bebanan rakyat selain pelaksanaan GST yang turut mengakibatkan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
“Saya tidak mahu cakap soal politik, tapi kerajaan perlu faham apa yang kami sampaikan. Kita tarik dua kali (pangkah) saja, tukar kerajaan. Jangan sampai rakyat marah.
“Kami banyak nak fikir soal masalah jalan, saman dan penumpang. Jangan tekan kami sebab macam-macam boleh berlaku,” katanya.
Tambahnya, pihak berkenaan juga seharusnya menjalankan kajian dan penyelidikan terlebih dahulu terhadap faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya seperti kerosakan jalan, sistem trafik, selekoh tajam dan jalan sempit sebelum mengambil keputusan untuk melaksanakan sistem Kejara.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bandaraya Alor Setar, Oseman Omar turut menyarankan supaya kerajaan mempertimbangkan semula cadangan pelaksanaan sistem Kejara dan kenaikan kadar saman.
“Kalau sebulan kena satu saman, nak bayar RM300 bukan senang. Nak jaga anak-anak dan keluarga lagi. Purata pendapatan sehari pemandu teksi sekitar RM50 saja.
“Boleh tengok sendiri jumlah penumpang di Shahab Perdana, tiang lebih banyak daripada penumpang. Macam mana kami nak cari makan kalau ditambah pula dengan pelaksanaan itu,” katanya.
Malah katanya, kadar tambang yang digunakan pemandu teksi juga adalah berdasarkan kadar yang diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Kita minta kerjasama pihak berkenaan, tolonglah bantu pemandu teksi. Janganlah beban kami sebab kita sudahpun tertekan dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga barang,"katanya.
Sumber: Sinar Harian