PKR Kedah Dakwa BN Akan Kalah Sebab Tukar MB

Hsiao Leung mengagihkan limau kepada orang ramai berdekatan Pasar Taman Berjaya.
ALOR SETAR - Pertukaran Menteri Besar Kedah yang menyaksikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir diturunkan dari kerusi itu oleh kem Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyebabkan kekalahan BN di Kedah pada PRU14.

Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung berkata, ini kerana tindakan menyingkirkan Mukhriz yang dilihat sebagai pemimpin bersih dan bebas skandal membangkitkan kemarahan rakyat.

“Rakyat Kedah marah kerana Mukhriz terpaksa meletakkan jawatan sebagai menteri besar,” katanya selepas program ziarah Tahun Baharu Cina, sambil mengedarkan buah limau di Pasar Taman Berjaya, kelmarin.

Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, rakyat negeri ini maklum bahawa Mukhriz menjadi mangsa keadaan berikutan kritikan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas Perdana Menteri, terhadap Najib selain dirinya yang lantang menyuarakan pandangan tidak senada.

“Situasi itu tidak ada kaitan dengan prestasi Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah. Mukhriz dilantik melalui demokrasi selepas PRU13 dan mendapat kepercayaan majoriti Adun Kedah.

“Beliau tidak sepatutnya digulingkan dalam apa cara sekalipun yang bertentangan amalan demokrasi, termasuk alasan yang tidak berasas,” katanya.

Hsiao Leung mendakwa usaha penyingkiran Mukhriz itu merupakan penghinaan besar kepada rakan komponen BN, iaitu MCA dan Gerakan, di mana mereka tidak dirujuk selain sokongan mereka tidak diambil kira.

“Sekurang-kurangnya Umno menunjukkan hormat dan kesopanan, berunding dengan MCA dan Gerakan dalam isu ini, walaupun ia sekadar usaha kosmetik semata-mata,” katanya.

Sumber: Sinar Harian