Polis British Akan Mula Siasat Clare Sarawak Report


LONDON – Usaha Penasihat Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao membuat laporan polis ke atas editor portal Sarawak Report (SR), Clare Rewcastle Brown baru-baru ini kini membuahkan hasil.

Ia terbukti apabila pihak berkuasa British itu bakal memulakan siasatan ke atasnya dalam masa terdekat susulan laporan rasmi yang dibuat sendiri oleh Ramesh ketika beliau berada di United Kingdom pada awal bulan ini.

Laporan itu menyatakan beberapa salah laku yang dilakukan oleh Clare khususnya perbuatan jahatnya cuba mahu menggulingkan kerajaan demokratik dan menjatuhkan Perdana Menteri sah, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ramesh berjaya memfailkan laporan berkenaan terus di Balai Polis West End Central di London, England pada 7 Februari lepas, menurut beberapa portal berita prokerajaan yang disiarkan pada Jumaat.

“Untuk makluman pihak media, saya terima panggilan dari London mengesahkan pihak berkuasa British akan buka kertas siasatan terhadap Clare berdasarkan laporan saya,” katanya melalui mesej Whatsapp yang dihantar.

Ketika berada di negara Eropah tersebut, pihak polis tempatan di London juga telah menasihatkan Ramesh supaya segera menyerahkan segala aduannya itu melalui pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di ibu kota Britain.

“Saya dinasihati oleh polis British untuk serahkan dokumen melalui Pesuruhjaya Tinggi Malaysia untuk mengelak sebarang kehilangan dokumen dan bukti penting bagi membantu siasatan mereka,” kata beliau lagi.


Antara dokumen yang diserahkan ialah Akuan Bersumpah dari bekas editor Sarawak Tribune, Lester Melanyi yang mendakwa dia diupah oleh Clare untuk menyunting kandungan artikel SR pada 2012 dan 2013.

Juga perbualan e-mel antara Lester dan Clare yang didakwa mengenai pemalsuan dokumen serta surat dari syarikat antarabangsa PetroSaudi yang mendakwa semua e-mel diterbitkan SR adalah diubah suai dan palsu.

Turut dilampirkan oleh Ramesh ialah beberapa salinan laporan polis tempatan dan memorandum ke atas Clare yang pernah dibuat pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia sendiri sepanjang tahun lalu.

Mahkamah di Kuala Lumpur sebelum ini sudah pun mengeluarkan waran tangkap ke atas Clare untuk siasatan atas dakwaan menjalankan kegiatan yang mengancam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Wanita Inggeris tersebut juga amat dikehendaki untuk membantu proses siasatan atas dakwaan iaitu sengaja menerbitkan laporan palsu berbaur jahat yang boleh mengancam ketenteraman awam di negara ini.

Dalam kenyataan rasmi media oleh Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman Polis Diraja Malaysia, Clare dikehendaki di bawah Seksyen 124B dan 124I Kanun Keseksaan yang baharu sahaja dipinda.

Lester Melanyi
Pemergian Ramesh ke Britain menampakkan satu lagi perkembangan positif yang diharapkan pihak berkuasa akan berjaya menyiasat seterusnya menahan Clare yang begitu dikehendaki di Malaysia.

Perbuatannya menyebabkan situasi politik negara terjejas dengan tuduhan liar berniat menjatuhkan Najib serta menjadikan Perdana Menteri terperangkap dalam tuduhan jenayah mengambil dana dari syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – Agensi