Zamri (tiga, kiri) bersama pegawai polis IPD Kubang Pasu menunjukkan empat pistol bersama peluru yang berjaya dirampas. |
JITRA - Polis Kedah merampas empat pucuk pistol dan peluru serta selaras senapang angin dalam dua serbuan berasingan dan awal pagi kelmarin di sekitar Changlun.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, dalam kedua-dua serbuan, polis menahan lapan lelaki tempatan berumur antara 18 hingga 43 tahun dan merampas dadah jenis heroin dan syabu.
Zamri berkata, dalam serbuan pertama di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Kangar-Kodiang, polis menahan empat lelaki berumur antara 25 hingga 43 tahun.
Hasil pemeriksaan menemui tiga pucuk pistol dan 19 butir peluru hidup serta sembilan paket dadah jenis syabu seberat 5.33 gram dan heroin seberat 14.41 gram dalam beg sandang suspek pertama.
“Suspek berusia 43 tahun itu mendakwa dadah itu untuk kegunaan dirinya dan polis mendapati suspek tersebut memiliki rekod jenayah lampau dalam kes cubaan bunuh dan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu semalam.
Zamri berkata, pihaknya percaya pistol separa automatik itu diperoleh dari Thailand dan pihaknya sedang menyiasat tujuan suspek memiliki pistol berkenaan.
“Dua lagi suspek memiliki rekod jenayah berkaitan dadah manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah,”katanya.
Zamri berkata, dalam serbuan kedua jam 3.10 pagi semalam, di tepi jalan Kampung Paya Ladang Ked Long, Changlun, polis menahan empat lelaki berumur antara 18 hingga 39 tahun yang kelihatan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan ke atas mereka, polis menemui sepucuk pistol tidak berjenama dengan tujuh butir peluru 9mm yang diselitkan pada belakang pinggang salah seorang suspek dan dadah jenis syabu seberat 1.5gram,” katanya.
“Polis turut merampas selaras senapang angin jenama Super Model 737 CAL 177 yang disimpan dalam sebuah beg berwarna hitam.
“Seorang daripada suspek mendakwa dadah itu untuk kegunaannya sendiri dan senapang angin itu digunakan untuk memburu burung,” katanya.
Ketiga-tiga suspek tersebut memiliki pelbagai rekod kesalahan jenayah dan dadah manakala seorang lagi suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, semua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Sinar Harian