Abdullah (dua, kanan) menunjukkan barang dan peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel. |
KULIM - Polis berjaya menumpaskan sindiket curi kabel syarikat Telekom yang menyebabkan kerugian sebanyak RM50,000 di sekitar daerah ini.
Enam individu berusia antara 23 hingga 35 tahun yang juga dikenali sebagai Geng Satria aktif dalam kegiatan tersebut sejak tiga bulan lalu dipercayai menggunakan kereta jenis Proton Satria semasa melakukan aktiviti berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, pada mulanya mereka hanya menahan dua anggota geng itu semasa mengadakan sekatan jalan di Jalan Bukit Kukus pada 20 Januari lalu.
Menurutnya, kereta yang dinaiki dua anggota itu ditahan kira-kira jam 3.20 pagi selepas dilihat mencurigakan.
"Ketika itu, polis mengarahkan mereka keluar, namun salah seorang mereka bertindak ganas dengan menyembur alat pemadam api kepada anggota polis.
"Selepas itu, mereka melarikan diri sejauh lima kilometer di kawasan Hi-Tech sebelum ditahan.
"Hasil pemeriksaan dalam kereta tersebut, kami menemui peralatan digunakan untuk mencuri kabel yang disimpan dalam but kereta termasuk kabel yang dicuri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, semalam.
Katanya, hasil soal siasat, polis berjaya menahan tiga lagi anggota geng tersebut dan seorang pembeli kabel yang sudah siap dibakar di kawasan Baling dan Kulim dalam tempoh 10 hari.
“Lima daripada enam suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau dan terlibat kes dadah, manakala lima daripada mereka juga positif dadah.
"Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1995," katanya.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, polis juga menahan seorang suspek kes samun yang berlaku di jalan besar hadapan sebuah pasaraya di daerah ini pada 28 Januari lalu.
Katanya, dalam kejadian itu, mangsa wanita berumur 23 tahun menunggang motosikal bersendirian dihampiri suspek dari arah belakang sebelum disamun.
"Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu terus mengejar suspek sebelum terjatuh kerana melanggar sebuah kereta.
"Orang awam yang menyedari kejadian itu menangkap suspek dan menyerahkannya kepada pihak polis," katanya.
Tambahnya, hasil soal siasat mendapati suspek juga melakukan kegiatan meragut di kawasan Sungai Karangan pada 28 Januari lalu.
Sumber: Sinar Harian