Husaini menyerahkan bantuan beras kepada penerima. |
SUNGAI PETANI - Kelmarin, berlegar viral di laman sosial mengenai program bantuan beras kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Disebabkan tidak tahu sama ada ia adalah maklumat sahih ataupun palsu, wartawan Sinar Harian ke lokasi yang dimaksudkan di No 43, Lorong Zamrud 2/2 Taman Pekan Baru, semalam.
Dalam WhatsApp itu dinyatakan waktu agihan bermula jam 9 pagi hingga 2 petang, namun kelihatan ramai yang sudah berkumpul untuk mendapatkan bantuan.
Ternyata ia adalah benar, malah menurut Pengarah Urusan Syarikat Pemborong dan Peruncit Beras, Kemelong Holding Sdn Bhd, Datuk Dr Husaini Yaacob, program agihan beras secara besar-besaran itu diadakan tujuh kali setahun sejak 15 tahun lalu.
Katanya, sekampit beras lima kilogram disumbangkan bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
“Sumbangan berbentuk zakat kepada golongan Islam dan bantuan kepada golongan bukan Islam yang mana memerlukan bantuan beras ini dapat meringankan sedikit beban kos sara hidup yang ditanggung mereka terutamanya mereka yang mempunyai bilangan anak ramai.
“Dengan mengagihkan beras kepada golongan kurang mampu dan betul-betul memerlukan ini secara tidak langsung memberi ketenangan hati dan saya harap pintu rezeki terbuka luas untuk saya teruskan kerja amal kepada lebih ramai penerima, pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, selain bantuan besar-besaran, setiap hari pihaknya memberi beras percuma kepada hampir 10 individu yang betul-betul miskin.
Di samping itu, pihaknya membuat pengagihan makanan percuma dan menyediakan asrama lelaki kepada golongan gelandangan.
Seorang ibu kepada empat anak, Norrehan Mat Husan, 31, dari Kampung Emas Kota Kuala Muda, di sini, berkata, dia amat gembira dan mengucapkan terima kasih atas keprihatian syarikat pemborong dan peruncit beras itu.
“Kami orang susah. Dengan adanya bantuan ini, lepaslah sebahagian kesusahan yang kami hadapi,” katanya.
Warga emas, Abdul Gaffar Ahmad, 67, dari Flat Paya Nahu, di sini, turut melahirkan kesyukuran di atas kemurahan syarikat terbabit memberi bantuan beras kepada mereka.
“Ini kali kedua saya terima beras daripada syarikat ini. Bantuan seperti ini sedikit sebanyak membantu golongan berpendapatan rendah dalam perbelanjaan seharian mereka,” katanya.
Sumber: Sinar Harian