Pusat Pelacuran Tertua Di Jakarta Bakal Dihapuskan?


KALIJODO yang terletak di Jakarta, adalah satu nama yang tidak asing lagi buat lelaki hidung belang dan kaki judi.

Ia merupakan daerah dalam kawasan pentadbiran Jakarta Utara dan Jakarta Barat yang masih mempertaruhkan aktiviti pelacuran, perjudian dan jualan minuman keras sebagai sumber pendapatan utama masyarakatnya sejak sekian lama.

Ia juga terkenal sebagai salah satu destinasi pusat hiburan malam yang dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat. 

Di sana, dikatakan terdapat pelbagai jenis kenderaan dari yang mewah hinggalah kelas pertengahan yang datang dengan tujuan mahu berhibur.

Justeru berita penutupan Kalijodo sebagai pusat pelacuran yang bakal diubah jadi Ruang Terbuka Hijau (RTH) menggusarkan penduduk-penduduk di sana, kerana aktiviti tersebut merupakan mata pencarian mereka.

Paling terkesan sudah tentulah Pekerja Seks Komersial (PSK) yang pasti tidak setuju dengan cadangan diutarakan pihak pentadbiran Jakarta itu.


Hasil temubual dengan 10 penghuni Kalijodo kebanyakannya menyatakan, “Jika boleh dirunding, mohon ditangguh dahulu pelaksanaannya. Diberi kelonggaran tiga atau lima tahun lagi, tidak sekarang..”

“Rata-rata menolak dan bisa bangkit melawan dan menentang,” kata seorang jejaka yang merantau ke sana dari Kacamatan Rappocini.


Terdapat juga ura-ura mengatakan, Kalijodo selepas ini akan bertukar menjadi lokasi pusat keagamaan seperti yang dilakukan di Kramat Tunggak, Jakarta Utara menerusi pembangunan Islamic Center (IC). Benarkah? - Agensi