Rampas Kapal Tunda, Tongkang, 60,000 Liter Diesel Bernilai RM1 Juta

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka merampas sebuah kapal tunda dan sebuah tongkang dengan muatan kira-kira 60,000 liter diesel yang kesemuanya bernilai RM1 juta di sebuah jeti haram di Telok Mas di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Melaka Jamil Buang berkata rampasan itu dibuat bagi membantu siasatan mengenai sebuah syarikat pemborong minyak diesel yang disyaki menjual bahan api itu secara runcit di tengah laut.

Beliau berkata rampasan itu dibuat ketika serbuan di sebuah premis kira-kira 10 pagi tadi selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam serta risikan selama kira-kira seminggu.

“Kita percaya kapal tunda ini digunakan untuk menarik tongkang berisi diesel dan air bersih yang diperoleh dari daratan untuk dijual kepada bot dan kapal-kapal dagang berada di tengah laut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati syarikat berkenaan bergiat aktif melakukan kegiatan itu selama kira-kira setahun.

Dalam pada itu, Jamil berkata jeti berkenaan diklasifikasikan sebagai jeti haram hasil semakan dengan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka.

Beliau berkata melalui semakan itu hanya tiga jeti di negeri ini tertakluk di bawah Akta Kastam 1967 iaitu Tanjung Agas di Kuala Linggi, Tanjung Beruas di Tanjung Kling dan Pelabuhan Petronas di Sungai Udang.

“Tiada tangkapan dibuat, namun kita telah mengenal pasti syarikat ini dan meminta pemilik syarikat untuk tampil membantu siasatan.

Rampasan tersebut dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya. – BERNAMA