Gambar Hiasan |
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, langkah ini perlu dipertimbangkan dengan lebih terperinci selepas Ops Selamat tidak menunjukkan kesan memberangsangkan.
Katanya, orang ramai yang masih tidak mahu mengubah sikap dan tidak mahu mematuhi peraturan jalan raya, khususnya pada musim perayaan menyebabkan kemalangan maut banyak berlaku di negara ini.
"Saya rasa Ops Selamat ini tidak menampakkan sebarang kesan dari segi bilangan kemalangan khususnya kemalangan maut.
"Kemungkinan kita ingin mencadangkan supaya jumlah kompauan dipertingkatkan kerana RM300 ini nampaknya macam 'kacang' sahaja," katanya kepada pemberita, Rabu.
Beliau berkata demikian selepas hadir di Majlis Serah Terima Kereta Perodua Axia 'Kenderaan Peronda Komuniti' sumbangan Perodua kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, Rabu.
Menurut Khalid, sikap orang ramai yang sering melakukan kesalahan di jalan raya mungkin dapat diubah dengan meningkatkan penguatkuasaan, termasuklah menaikkan kadar kompaun kerana ia melibatkan 'poket' orang ramai.
"Dengan penguatkuasaan sahaja saya rasa kita boleh ubah sikap orang ramai.
"Mungkin pertambahan jumlah kompaun boleh ubah sikap mereka," katanya.
Dalam pada itu, Khalid turut menegaskan bahawa tiada pengurangan kadar kompaun akan diberikan untuk sebarang perlanggaran undang-undang jalan raya yang telah dilakukan.
"PDRM akan terus menguatkuasakan undang-undang jalan raya.
"Kita tak akan beri apa-apa pengurangan dari segi kompaun untuk sebarang perlanggaran peraturan jalan raya," katanya.
Tambahnya, PDRM sendiri runsing dan kecewa dengan apa yang berlaku tetapi pada masa perlu lebih tegas dalam meningkatkan penguatkusaan.
Pada masa ini kadar kompaun maksimum RM300 telah ditetapkan untuk kesalahan yang menjadi penyumbang utama kemalangan, keselamatan pengguna, kesesakan lalu lintas dan perkhidmatan pengangkutan awam.
Kesalahan tersebut termasuklah memandu melebihi 40km/jam dari had laju yang ditetapkan, menggunakan lorong kecemasan dan pemandu teksi tidak menggunakan meter.
Sumber: mStar