Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain |
SHAH ALAM - Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain yakin BN Kedah mampu memenangi dua pertiga kerusi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Tajul berkata, keyakinan itu seiring dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah yang baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semalam bahawa BN Kedah mampu mencapai sasaran tersebut sekiranya semua jentera BN dan Umno negeri bersama-sama bekerja keras.
"Saya yakin penuh, dan saya rasa rakyat Kedah akan menerima kepimpinan Ahmad Bashah," katanya kepada Sinar Online, semalam.
Ketika ini 21 kerusi Dun dipegang BN, Pas (lapan), PKR (empat), DAP (dua) dan Parti Amanah Negara (satu)
Dalam pada itu, Tajul berkata keadaan Kedah kini kembali seperti biasa.
"Semua berjalan lancar, rutin kerja berjalan seperti biasa, lebih penting krisis politik di Kedah kini sudah selesai, keadaan sudah kembali tenang," katanya.
Sementara itu ketika ditanya tentang, desas-desus mengenai rombakan Exco, Tajul Urus berkata perkara itu beliau serahkan kepada MB.
"Yang itu kita serah kepada Menteri Besar Ahmad Bashah," katanya.
Sumber: Sinar Harian