Rumah Jurugambar Akhbar Tempatan Dipecah Masuk Di Sungai Petani


SUNGAI PETANI - Seorang jurukamera akhbar tempatan kerugian lebih RM40,000 selepas rumah yang didiaminya dipecah masuk pencuri dalam kejadian di Jalan Anggerik, Bandar Amanjaya, pada cuti Tahun Baharu Cina lalu.

Kejadian itu disedari Safrizal Azmi, 28, kira-kira jam 11 malam kelmarin setelah dia bersama isteri, Nazatul Islah Zulkifly, 29, dan anak perempuan tunggalnya pulang dari kampung di Klang, Selangor selepas bercuti sejak 5 Februari lalu.

Menurutnya, sebaik masuk ke dalam rumah, dia terkejut apabila mendapati keadaan berselerak.

"Bila isteri buka pintu, kami tengok lampu dan kipas di ruang tamu terpasang sementara pintu bilik yang berkunci terbuka.

"Bila diperiksa, saya dapati pintu dapur dan pintu jeriji besi belakang rumah dah terbuka serta ada kesan umpil," katanya.  

Safrizal berkata, akibat kejadian itu dia kehilangan wang tunai RM2,000 dan pelbagai barang berharga termasuk kamera syarikat bernilai RM25,000.

"Televisyen 40 inci, dua kamera kompak, iPad, dua komputer riba, barang kemas, basikal dan peralatan elektrik turut hilang dicuri," katanya.

Katanya, dia percaya penjenayah berkenaan mengambil masa agak lama untuk mencuri semua barang miliknya.

"Banyak barang bersaiz besar mereka ambil. Malah makanan dan minuman ringan juga habis. Puntung rokok juga saya jumpa dalam rumah.

"Susulan itu saya buat laporan polis berhubung kejadian untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Polis akan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian