ISLAM adalah agama yang amat prihatin terhadap keamanan, perdamaian dan keharmonian. Peperangan dan pembunuhan hanya dibenarkan dalam keadaan untuk mempertahankan diri, ketika negara dan agama diceroboh dan diserang serta menegakkan keadilan manusia sejagat.
Umat Islam diajar dan dilatih supaya mengimbangi perasaan dan akal ketika menghadapi peperangan dan perjuangan. Tindakan emosi dan akal yang tidak didasarkan kepada ajaran Ilahi dan Rasul sering mendorong umat Islam yang diasuh dengan pemikiran radikal bertindak di luar batasan kemanusiaan dan fitrah kejadian manusia.
Matlamat peperangan jika bertentangan dengan konsep mempertahankan agama dan negara sepertimana dijelaskan oleh Allah dan Rasul adalah punca utama umat Islam bertindak ganas dan zalim terhadap individu yang dianggap sebagai musuh.
Salah tafsir ayat-ayat al-Quran dan hadis adalah punca utama fatwa berkaitan kemasyarakatan dan kemanusiaan bertentangan dengan konteks ajaran Islam. Pentafsiran ayat-ayat al-Quran tanpa dirujuk kepada asbab al-nuzul (sebab musabab penurunan wahyu) berkaitan peperangan adalah faktor utama umat Islam berfikiran radikal bertindak di luar batas kemanusiaan.
Apabila ayat-ayat al-Quran dan hadis dikaji secara terperinci dan difahami secara mendalam maka tindakan ganas terhadap orang awam sama ada beragama Islam atau bukan Islam adalah haram sama sekali. Berjuang mempertahankan Islam perlu berdasarkan kepada strategi yang rasional dan komprehensif iaitu nyawa orang awam dan harta benda perlu diselamatkan.
Apalah erti perjuangan apabila sebutir bom diletupkan secara membunuh diri maka pembunuhan tersebut melibatkan banyak nyawa awam terkorban. Adakah ini dianggap sebagai jihad dan mati syahid? Apakah hukumnya membunuh diri di dalam Islam? Konteks hukum hakam perlu dikaji supaya perjuangan yang dilaksanakan itu bertepatan dengan konteks ajaran Allah.
Islam menyeru umatnya supaya mempertahankan diri bukan membunuh diri dan meragut nyawa manusia yang tiada kaitan dengan keganasan dan pembunuhan. Jika perjuangan yang dilaungkan adalah untuk menghapus keganasan rejim yang kejam terhadap rakyat maka pejuang Islam sepatutnya bertindak mengikut lunas ajaran Islam.
Jika rejim membunuh orang awam secara kejam, perlukah pejuang Islam juga bertindak sama dengan rejim tersebut? Apakah perbezaannya di antara rejim yang zalim dengan pejuang Islam yang melaungkan slogan Islam jika sikap dan tindak-tanduk mereka adalah sama.
Dalam peperangan setiap tentera Islam perlu prihatin terhadap keselamatan nyawa orang awam terutama orang tua, kanak-kanak dan wanita. Ini adalah satu perundangan yang paling serius perlu diambil perhatian oleh setiap individu Islam yang menyertai peperangan.
Walaupun Islam mengharuskan peperangan dalam keadaan di mana hanya peperangan sahaja dapat menyelesaikan permasalahan dan menghapuskan kekejaman maka Islam juga memperuntukkan perundangan yang paling ketat berkaitan peperangan.
Adalah haram membunuh musuh yang menyerah diri dan meminta keselamatan nyawa kerana konsep peperangan dalam Islam ialah untuk menegakkan keadilan dan kedamaian.
Jika Islam adalah slogan perjuangan untuk keadilan, kedamaian, kesejahteraan umat Islam dan manusia sejagat maka setiap tindak-tanduk dan strategi peperangan mesti berlandaskan hukum-hakam berkaitan peperangan.
Kecuaian dalam aspek ini bukan sahaja menjadikan perjuangan yang suci tergelincir daripada landasan perjuangan Islam yang hakiki malah boleh merosakkan maruah dan imej agama Islam sebagai agama yang memperjuangkan keamanan dan keharmonian.
Menghapuskan kumpulan radikal secara kekerasan bukan sesuatu yang mudah kerana semakin tinggi tekanan dikenakan kepada kumpulan ini maka semakin tinggi semangat perjuangan mereka kerana tekanan begini adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh golongan yang ingin mati dalam peperangan. Hati dan pemikiran mereka telah diresapi dengan janji-janji syurga sebagai orang mati syahid oleh ketua kumpulan dan ahli-ahli mereka.
Oleh itu, perkara penting yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah mengkaji faktor-faktor yang boleh mendorong golongan muda terjebak dalam kumpulan radikal. Guru-guru agama yang mengajar pelajaran Islam perlu dikaji latar belakang pendidikan mereka supaya ajaran agama Islam yang disampaikan kepada pelajar bertepatan dengan konteks ajaran Islam.
Kemiskinan juga adalah faktor golongan muda terjebak dalam pergerakan radikal. Jika kerajaan mengabaikan kepentingan asas rakyat maka kemungkinan pengaruh pergerakan radikal begitu mudah menular dalam negara terutama di kawasan yang mempunyai ramai penduduk yang miskin. Kajian menunjukkan pergerakan radikal menjadi begitu berpengaruh di negara-negara Arab adalah disebabkan oleh kemiskinan dan ramai orang miskin dibiayai oleh pergerakan Islam.
Oleh itu, jika ada pergerakan Islam yang kaya dan mampu membiayai individu Islam yang miskin maka kemungkinan ramai individu miskin di negara-negara Islam akan menyertai pergerakan itu dengan slogan ‘pembentukan sistem khalifah’. Ini adalah slogan kesemua pergerakan radikal Islam di negara-negara Islam.
Para pemimpin negara Islam sepatutnya sedar pengabaian terhadap keperluan asas rakyat bukan sahaja boleh menyebabkan rakyat kecewa dengan sistem pemerintahan negara malah ia juga akan menggugat kestabilan politik, ekonomi dan keamanan negara.
Jika pergerakan radikal dapat menguasai kekayaan negara Arab dan memiliki peralatan tentera yang canggih maka pengaruh pergerakan itu mudah menular ke dalam negara-negara Islam terutama dalam kalangan golongan yang miskin.
Apabila perut rakyat kosong maka ketika ini mereka hanya berfikir bagaimana hendak mendapatkan makanan dan minuman serta tidur dengan nyenyak. Oleh itu, jika ingin membendung kegiatan radikal maka giatkan usaha bagaimana hendak menyediakan kemudahan asas kepada rakyat supaya mereka dapat tidur dengan nyenyak. Pejabat zakat perlu proaktif menyalurkan wang kepada golongan miskin.
Pejabat zakat di negeri kaya perlu menyalurkan wang kepada negeri-negeri yang miskin supaya sumbangan umat Islam dalam bentuk zakat dinikmati oleh seluruh umat Islam yang miskin di negara ini.
Harapan pembayar zakat adalah wang yang disalurkan melalui pejabat zakat adalah untuk membantu umat Islam yang miskin tanpa mengira negeri mana mereka berada. Oleh itu, tumpukan perhatian kepada penyediaan kemudahan asas rakyat bagi membendung kegiatan pergerakan radikal dalam negara.
*PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/Utusan