Sarawak Rancang Mansuh Cukai Tanah Ringankan Hidup Rakyat - Adenan

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menerangkan dasar-dasar kerajaan negeri semasa merasmikan Program Sejiwa Senada Peringkat Bahagian Sarikei semalam. - Foto BERNAMA
SARIKEI – Sarawak merancang untuk memansuhkan cukai tanah bagi meringankan kehidupan rakyat.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata, bagaimanapun, sebelum ini dapat dilaksanakan, kerajaan negeri perlu mendapatkan kembali hak untuk memungut hasil duti setem daripada kerajaan persekutuan.

Menurut Adenan, ini merupakan langkah seterusnya oleh Sarawak dalam rundingan penurunan kuasa dengan kerajaan persekutuan.

“Jika kita boleh memperoleh pendapatan daripada kutipan duti setem, cukai tanah boleh dimansuh,” kata beliau ketika merasmikan Program Sejiwa Senada Bahagian Sarikei di sini semalam.

Ketua Menteri berkata, kejayaan rundingan penurunan kuasa dengan kerajaan persekutuan bergantung kepada sokongan padu rakyat kepada kerajaan negeri sekarang.

“Berikan saya mandat yang kuat (pada Pilihan Raya Negeri ke-11) supaya kerajaan persekutuan tahu bahawa saya mewakili semua rakyat di Sarawak,” katanya dan menambah beliau hanya memerlukan tempoh lima tahun lagi untuk melaksanakan banyak perkara yang boleh membangunkan lagi negeri ini.


Beliau juga meminta rakyat terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk tampil bersama dan membangunkan Sarawak, negeri yang mereka cintai.

Pada majlis itu, Adenan juga meluluskan peruntukan berjumlah RM3.5 juta untuk memperbaiki Kompleks Sukan Sarikei yang usang dan RM4.5 juta bagi kerja-kerja membaiki jalan Sarikei-Tanjung Manis.

Kira-kira 30,000 orang menghadiri program tersebut termasuk penduduk dari kawasan Julau dan Kuala Rajang. – BERNAMA