Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meninggal dunia pada 12 Februari tahun lalu pada pukul 9.40 malam, di rumahnya sendiri di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.
Pemergian sayu ini disahkan Profesor Dr. Jafri Malim Abdullah, Pakar Neurologi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang juga ketua pasukan perubatan Allahyarham sepanjang dirawat di HUSM Kubang Kerian.
Anak Allahyarham, Nik Mohamad Abduh turut telah memuat naik satu status menerusi Facebook beliau lebih kurang pukul 1o malam, sebagai mengesahkan kematian ayahandanya itu…
Sejurus selepas berita itu disahkan, orang ramai mula bergerak ke Kota Bahru bagi menghadiri upacara pengebumian Allahyarham.
Tokoh-tokoh agama dan ahli politik yang lain turut berangkat ke Kelantan untuk menziarahi Allahyarham sebelum Allahyarham dikebumikan.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke tanah perkuburan pada keesokan harinya, 13 Februari 2015 dari Masjid Tok Guru dan diusung oleh 5 orang anaknya.
Pemergian Allahyarham diiringi dengan laungan takbir oleh ratusan ribu orang yang hadir disitu. Pemergian Allahyarham sangat dirasai dan ia adalah satu kehilangan yang besar di mata dunia.
Allahyarham dikebumikan pada pukul 10.45 pagi bersebelahan kubur ayahnya, Nik Mat Raja Banjar di tanah Perkuburan Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.
BIODATA RINGKAS ALLAHYARHAM TOK GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
- Dilahirkan pada hari Sabtu, 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu
- Beliau merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik
- Isteri: Tuan Sabariah binti Tuan Ishak,
- Dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).
Sebelum Menteri Besar Kelantan, Allahyarham merupakan seorang guru agama dan pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi.
Allahyarham menerima pendidikan awal dari bapanya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat Raja Banjar di kediamannya di Pulau Melaka.
Allahyarham memiliki kelulusan dalam bidang Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti al-Azhar di Mesir. Ketika belajar, beliau pernah menjadi saksi kepada Perang Arab-Israel.
Beliau juga pernah belajar di:
- Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat, Kelantan (3 Bulan) – 1936
- Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian, Kelantan
- Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas, Besut, Terengganu
- Universiti Deoband, India – 1952
- Universiti Lahore, Pakistan – 1957
- Universiti al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.
- Universiti al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam.
KRONOLOGI PEMERGIAN ALLAHYARHAM TOK GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM, Kubang Kerian pada 20 Januari 2015 susulan menghidap penyakit kanser prostat tahap ke-4.
Walaupun keadaan Allahyarham dikatakan lemah, tetapi Allahyarham dilaporkan berada dalam keadaan yang stabil.
Selepas beberapa hari ditahan di wad, Allahyarham mula menunjukkan reaksi positif dan sudah mula berinteraksi bersama keluarga dan sahabat yang mengunjunginya di hospital tersebut.
Ahli keluarga Allahyarham memutuskan bahawa tiada perancangan untuk ayahnya menjalani rawatan kimoterapi atas faktor kesihatan yang semakin pulih.
Allahyarham menerima kunjungan daripada Perdana Menteri Datok Seri Najib Razak pada 29 Januari 2015, namun kesihatannya kembali merosot.
Setelah hampir dua minggu bertarung dengan kanser yang dihadapinya, akhirnya Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 84 tahun.
AL-FATIHAH… -Kedahnews.com