Seksi Tak Tutup Aurat, Datuk Bandar Aceh Serbu Pertandingan Cari Model


Banda Aceh – Datuk Bandar Aceh, Illiza Saaduddin Djamal semalam menyerbu satu pertandingan mencari model selepas pesertanya dilaporkan berpakaian seksi dan tidak menutup aurat.

Pertandingan Indonesian Model Hunt 2016 diadakan di sebuah hotel di sini dan disertai beberapa peserta lelaki serta wanita.

Ketika beberapa peserta beraksi di pentas, Illiza dan beberapa pegawainya menyerbu masuk dan mengarahkan acara itu dihentikan.

“Pakaian yang dipakai peserta ini melanggar undang-undang Islam kerana ada wanita yang berpakaian menjolok mata.

“Ada peserta lelaki pula yang memakai seluar pendek dan ada yang memakai baju menyerupai wanita,” katanya.


Beliau memberitahu menerima laporan mengenai pertandingan itu lengkap dengan gambar peserta memakai pakaian yang tidak sesuai.

“Walaupun ada peserta yang berhijab, tetapi ramai yang tidak memakai tudung,” ujarnya.

ILLIZA (tengah) menasihati peserta wanita yang menyertai pertandingan mencari model.
Menurutnya, beliau kecewa acara seperti itu berlaku di Aceh dan pihak penganjur pula tidak memohon kebenaran pihak berkuasa tempatan.

“Penganjur dan ejen model ini saya arahkan datang ke Balai Kota Banda Aceh untuk disoal siasat sebelum tindakan diambil ke atas mereka,” tegasnya. – AGENSI