PETALING JAYA - "Saya harap Datuk Seri Ahmad Bashah sewaktu angkat sumpah tak akan terlena," sindir bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada penggantinya yang bakal angkat sumpah esok.
Sindiran Mukhriz itu berjaya menarik perhatian ramai penyokong Mukhriz dan media yang hadir pada sidang media pagi ini.
Beliau berkata demikian setelah dimaklumkan tentang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Menteri Besar yang baru.
Sebelum itu, anak bekas Perdana Menteri itu mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Besar bagi menamatkan krisis kepimpinan di Kedah.
Keputusan itu dibuat selepas beliau yang juga Adun Ayer Itam dimaklumkan tidak mendapat sokongan majoriti dari wakil-wakil rakyat negeri berkenaan.
Bagaimanapun, Ahmad Bashah yang kemudiannya turut mengadakan sidang akhbar di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri tidak membalas sindiran itu sebaliknya mendoakan yang terbaik buat Mukhriz.
Ahmad Bashah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dijangka angkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru, esok. -Kedahnews.com