Sengaja "Panggil" Kerbau Rasmi Pejabat Kesatuan Pelajar


KOTA – Presiden kesatuan pelajar sebuah kolej perdagangan kerajaan di Kota, India, mengadakan tunjuk perasaan simbolik dengan membawa seekor kerbau untuk merasmikan pejabat kesatuan itu.

Kerbau berkenaan diheret ke Kolej Perdagangan Kerajaan Kota dengan kad yang tertera perkataan bermakna ‘Pengetua’ digantungkan pada leher kerbau itu.

Tindakan itu dilakukan sebagai membantah pentadbiran kolej kerana melengahkan perasmian pejabat baru kesatuan.

Presiden kesatuan Prafful Pathak berkata, pihaknya bersetuju mengadakan tunjuk perasaan simbolik itu selepas sepakat berpendapat pentadbiran kolej berkenaan sama dengan kerbau.

Menurutnya, pihak pentadbiran tidak melayani permintaan kesatuan untuk mengadakan majlis perasmian pejabat baru kesatuan pelajar walaupun berulang kali digesa berbuat demikian.

Prafful berkata, walaupun jawatankuasa baru kesatuan sudah dipilih enam bulan lalu, pihak pentadbiran kolej masih belum mahu membenarkannya menjalankan tugas. – Agensi