SPRM Buru Dua Beranak Bantu Siasatan Seleweng Dana ICoE UUM

HAYAZI Ahmad dan anaknya Ahmad Nashril Hayazi.
ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kedah (SPRM) giat mengesan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) dikendalikan Universiti Utara Malaysia (UUM) membabitkan nilai tuntutan RM14 juta.

Dalam satu kenyataan di sini, SPRM berkata, Hayazi Ahmad, 42, dan anaknya Ahmad Nashril Hayazi, 21, dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat atau boleh membantu mengesan kedua-dua individu berkenaan diminta menghubungi SPRM Kedah di talian 04-7001884.

Sebelum ini dua individu termasuk seorang wanita berusia 46 tahun yang juga pensyarah kanan di UUM ditahan untuk membantu siasatan susulan tuntutan meragukan bagi projek ICoE ketika suspek menyandang kedudukan Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) yang menguruskan projek terbabit.

Susulan itu, seorang kontraktor dari Perlis berusia lingkungan 30-an yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan suspek utama ditahan untuk siasatan.

Sumber: Berita Harian