Stacy Belum Hamil, Kami Sedang "Usaha"... - Akim Ahmad

Akim Ahmad memberitahu, isterinya iaitu Stacy masih belum hamil walaupun kata-katanya dalam rancangan Mentor Milenia di TV3 pada Ahad seperti mengiakan berita itu.

Akim, 25, berkata, disebabkan usia perkahwinan yang masih baru, mereka tetap berusaha ke arah untuk memperoleh cahaya mata.

"Jujur saya katakan, Stacy masih belum hamil seperti yang disangkakan. Lagi pula usia perkahwinan kami baru menginjak sebulan setengah. Saya tidak menyalahkan peminat. Mungkin mereka teruja.

"Apa yang boleh saya katakan, kami sedang berusaha ke arah itu dan jika ada khabar gembira pasti saya akan kongsikan kepada semua nanti,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui selepas program Mentor Milenia di sini malam Ahad.

Terdahulu Akim yang bertindak sebagai mentor dalam rancangan itu dilihat memangku seorang kanak-kanak sambil memberi gambaran seolah-olah isterinya sedang hamil.


Dalam pada itu Akim berkata sejak  dulu lagi dia suka kepada kanak-kanak dan aksinya pada malam itu tiada kaitan dengan status isterinya sedang hamil.

Bila ditanya mengenai jantina anak yang diimpikan Akim berkata, dia seboleh-bolehnya mengimpikan anak lelaki tetapi tidak memilih. Namun jika diberikan anak kembar, ia adalah bonus.

Berkongsi kehidupannya selepas berkahwin, kata Akim segalanya semakin terurus kerana  Stacy menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan cukup baik.

"Saya sebenarnya tidak suka makan di luar. Hal ini membuatkan Stacy ambil inisiatif untuk belajar  memasak daripada ibu saya.Sekarang dia handal memasak resepi kegemaran saya antaranya masak asam pedas, masak lemak dan paling sedap dia masak ialah masak asam rebus nanas,” ujarnya.

Akim dan Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 26, bernikah pada 5 Februari 2016.

Sumber: mStar