Tabung Haji Buat Laporan Polis Terhadap Fitnah Rafizi Ramli


KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan tuduhan Rafizi Ramli yang mendakwa kononnya pihaknya memberi jaminan korporat kepada syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Sehubungan itu, TH telah membuat laporan polis ke atas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut yang sebelum ini sengaja menyebarkan dakwaan tidak berasas tersebut di media-media sosial.

“TH telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pandan (Rafizi) berkaitan dakwaan-dakwaan dan dokumen-dokumen yang telah disebarkan oleh beliau.

“Langkah ini diambil oleh TH bagi menjaga kepentingan para pendeposit dan reputasi TH sebagai sebuah institusi Islam di Malaysia.

“TH akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secepat mungkin,” kata TH dalam satu kenyataan media hari ini.

Rafizi yang dikenali ramai sebagai "pakar" propaganda pembangkang sebelum ini mendakwa TH memberi jaminan korporat kepada THHE.

Beliau turut melampirkan salinan sepucuk surat "misteri" yang kononnya daripada pihak kerajaan kepada pegawai kanan TH pada 8 Disember 2015 berkaitan perkara itu berjumlah sehingga AS$228.2 juta.

Beliau mendakwa kerajaan meluluskan permohonan itu yang tertakluk kepada beberapa syarat digariskan.

Rafizi juga sebelum ini kerap menabur dakwaan yang tidak benar dan palsu, namun walau dinafikan pihak kerajaan, ramai lagi yang masih percaya padanya. –Kedahnews.com