Tiada Tolak Ansur Dalam Soal Keselamatan Pelajar Sekolah - Mahdzir

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua, kiri) bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (tengah) meninjau pembelajaran di dalam kelas ketika melawat Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru, semalam. - Foto BERNAMA
JASIN – Kementerian Pendidikan tidak akan bertolak ansur terhadap langkah menjaga keselamatan pelajar di sekolah dan sentiasa memastikan setiap petugas kementerian itu menjalankan tanggungjawab itu.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata langkah menjaga keselamatan pelajar tidak hanya melibatkan keselamatan infrastruktur sekolah, malahan di jalan raya terutama ketika pergi dan pulang dari sekolah serta daripada ancaman buli rakan sekolah.

“Kena naikkan tahap pemakluman (menjaga keselamatan pelajar) kepada pengarah pendidikan negeri kemudian pegawai pendidikan daerah, dari situ pengetua dan guru besar kena waspada keadaan persekitaran sekolah daripada sistem pembetungan hingga pintu pagar sekolah, pengawal keselamatan dan sebagainya.

“Kena buat pemeriksaan, kena ada rasa tanggungjawab kerana tak boleh tolak ansur dalam soal keselamatan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, beliau menziarah keluarga Allahyarham Raja Nur Najjwa Ariana Raja Mohamad Shahrunizam yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam tangki septik di Sekolah Rendah Agama Jaim Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai di sini pada 1 Feb lepas.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Mahdzir berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bagi melihat keseluruhan sistem pembetungan di sekolah bagi memastikan kejadian itu tidak berulang kembali.

“Sistem pembetungan (sekolah) bukan di bawah kelolaan IWK tapi semalam saya panggil IWK supaya dapat bekerjasama dengan kementerian untuk lihat apa yang IWK boleh bantu,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri akan melaksanakan program latihan bantuan kecemasan CPR (cardiopulmonary resuscitation) kepada pengetua, guru besar, guru penolong kanan dan guru pendidikan jasmani di negeri ini.

“Ini penting bagi memberi bantuan kecemasan yang pantas dan terawal kepada pelajar sekolah sekiranya terjadi apa-apa kejadian kecemasan…kita akan mulakan latihan ini minggu depan,” katanya. – BERNAMA