Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. - Foto BERNAMA |
ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meminta veteran UMNO Tan Sri Rafidah Aziz agar tidak meracuni fikiran rakyat dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh menjatuhkan UMNO.
Beliau berkata krisis pertukaran menteri besar di negeri ini telah selesai malah proses tersebut dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada.
“Saya minta jangan pertikaikan dan sebut lagi isu ini. Ia telahpun selesai dan semuanya ikut undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil untuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, di sini semalam.
Dalam catatan di laman Facebooknya baru-baru ini, Rafidah menyifatkan krisis politik di Kedah yang menjadi punca kepada peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai budaya ‘politik semasa’ manakala menjatuhkan pemimpin kelihatan menjadi ‘perkara biasa’.
Ahmad Bashah berkata sebagai veteran UMNO, Rafidah sepatutnya menyatupadukan semua anggota UMNO dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh memecah-belahkan anggota parti.
“Kami (UMNO Kedah) yang minta Perdana Menteri selesaikan perkara (krisis Menteri Besar) ini, sebab kami mahu persediaan menyeluruh menghadapi pilihan raya umum dan memperkuatkan UMNO,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri Bakar Bata itu. – BERNAMA