Timbalan Presiden UMNO Cabar Setiausaha Agung Tunjuk Bukti

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
PORT DICKSON - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mencabar Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan kepimpinan tertinggi parti itu untuk ambil tindakan terhadapnya jika terbukti dirinya bersalah dan telah melanggar mana-mana peruntukan dalam perlembagaan parti. 

Muhyiddin berkata, cabaran itu dibuat selepas menerima pelbagai ugutan daripada kepimpinan tertinggi Umno yang mendakwa dirinya cuba merosakkan nama baik Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan parti.

“Saya cakap terus terang, dia dah ugut saya macam-macam dan cuba cari bukti untuk singkir dan buang saya. Saya tak takut. Saya nak ingatkan Setiausaha Agung Umno dan Majlis Tertinggi Umno, selagi tidak cukup bukti apa sahaja tindakan saya menyalahi perlembagaan parti, jangan berani ambil tindakan terhadap saya,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mencari Kebenaran #beranikeranabenar anjuran Gabungan Ketua Cawangan Malaysia di Balairaya Taman Intan Duyung, di sini, hari ini.

Menurutnya, ahli Majlis Tertinggi Umno memerlukan sebab yang kukuh jika mahu singkirkan dirinya daripada parti.

“Kena lah bagi sebab, tak kan hanya sebab memburuk dan merosakkan nama Presiden parti. Adakah kenyataan saya bertujuan untuk menjatuhkan Umno atau mempertahankan Umno? Kenyataan saya banyak untuk mempertahankan Umno kerana saya sayang parti ini. Saya antara pemimpin Umno yang berani bersuara tetapi yang lain hanya senyap sahaja,” katanya.

Tengku Adnan pada Disember lalu memberitahu ucapan Muhyiddin pada 7 Disember di Kampung Baru, Kuala Lumpur akan disiasat parti. Ucapan itu disampaikan Muhyiddin selepas beliau dihalang berucap pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu.

Muhyiddin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri pada Julai 2015 selepas dipercayai menyuarakan pandangan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang RM2.6 bilion.

Perdana Menteri kemudian mengumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri yang baharu bagi menggantikan Muhyiddin.

Muhyiddin turut memuji tindakan Gabungan Ketua Cawangan Malaysia yang berani mendesak Presiden parti meletak jawatan.

“Saya salute ketua cawangan desak Presiden letak jawatan. Saya fikir ia tidak salah. Desakan ini atas kepentingan parti bukan atas kepentingan diri sendiri,” katanya.

Sumber: Sinar Harian