TMJ Bidas Pedas "Ustaz Jadian", "Mufti Segera" Di Facebook

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
SHAH ALAM - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa agar setiap pihak tidak menilai seseorang secara sesuka hati apabila ia melibatkan hal agama.

Menerusi kenyataannya di laman sosial facebook Johor Southern Tiger, Tunku Ismail memaklumkan bahawa setiap manusia tidak perlu menghukum orang lain terutama melibatkan perkara-perkara kecil memandangkan hanya ALLAH yang boleh membuat keputusan sama ada setiap amalan diterima atau tidak.

“Saya dimaklumkan oleh laman rasmi kelab yang terdapat banyak komen negatif berkenaan bagaimana isteri Safiq Rahim bersalaman dengan saya.

“Malah terdapat beberapa individu yang cuba untuk menjadi ustaz atau mufti negeri di laman facebook. Bagi saya, apabila berkaitan agama, kita tidaklah semulia Rasul dan ALLAH,”katanya.

Sebelum ini, foto isteri pemain Johor Darul Ta’azi,(JDT), Safiq Rahim bersalaman dengan Tunku Ismail ketika meluangkan masa di kafe milik kapten kelab bola sepak itu mendapat kritikan daripada netizen.

Menurut Tunku Ismail, Islam merupakan agama tentang kasih sayang dan menghormati antara satu sama lain, bukan tentang menghakimi orang lain terutama apabila ia melibatkan kebencian

“Masalah sekarang ialah apabila terlalu ramai yang cuba menjadi lebih bijak daripada Al-Quran. Walaupun saya dilahirkan untuk menjadi Raja, saya juga hanya seorang manusia.

“Saya tidak mempunyai hak untuk mengadili sama ada ALLAH akan menerima anda atau sebaliknya,”katanya

Dalam pada itu, pemilik kelab bola sepak JDT itu turut memaklumkan bahawa walaupun terdapat banyak mazhab di dalam Islam namun tiada siapa dapat menentukan ajaran mana adalah betul.

“Terdapat banyak mazhab di dalam Islam. Siapa kita untuk mengatakan siapa antara kita akan ke syurga?

“Bagi saya, saya lebih suka untuk berpegang dengan apa yang telah diajar sejak saya kecil dan sentiasa berpandukan kitab suci Al-Quran. Saya juga akan berpegang kepada adat dan tradisi Melayu Johor saya kerana saya dilahirkan sebagai seorang Melayu Bangsa Johor,”katanya.

Tambah Tunku Ismail, sikap menuding jari dan menilai antara satu sama lain tidak akan menjadikan negara ini tempat yang lebih baik.

Sumber: Sinar Harian