Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim |
KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar mana-mana penyokong atau organisasi bola sepak Malaysia yang tidak puas hati dengan apa sahaja kenyataan baginda mengenai sukan itu untuk berdebat.
Titaj baginda, debat itu boleh dilakukan secara terbuka melalui ‘telecast’ televisyen berhubung polisi, projek, korupsi, dan apa sahaja isu mengenai bola sepak.
“Berada dalam penafian tidak akan meletakkan anda di mana-mana dalam kehidupan. Beberapa pegawai dan peminat bola sepak Malaysia menafikan hakikat, tetapi seluruh dunia mengenali potensi saya, wawasan dan pencapaian.
“Itulah sebabnya mereka sanggup bekerja dengan saya dan bukan orang lain yang terlibat dalam bola sepak Malaysia. Ini adalah fakta. Saya tidak mempunyai apa-apa jawatan mengarut dalam bola sepak Malaysia atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk dunia mengenali saya,” titah baginda dalam satu kenyataan semalam.
Tunku Ismail dalam pada itu bertitah, kehebatan seorang lelaki bukan diukur melalui berapa banyak kekayaan yang dimilikinya, tetapi melalui integriti dan keupayaan untuk mempengaruhi orang ramai di sekelilingnya secara positif.
Titah baginda, hakikat itu menyebabkan mengapa baginda tidak menyokong Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) kerana mendakwa badan itu hanya boneka Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Baginda dalam pada itu menyalahkan segelintir penyokong bola sepak Malaysia, kelab-kelab, media dan laman media sosial, sebagai punca kemunduran bola sepak negara.
Titah Tunku Ismail, bola sepak negara ini semakin mundur bukan hanya kerana rasuah, tetapi kerana mentaliti golongan terbabit yang lebih tertumpu kepada perkara-perkara kecil daripada gambaran yang lebih besar untuk bergerak ke hadapan.
“Apabila saya bercakap tentang rasuah dan kekurangan semangat oleh beberapa organisasi bola sepak seperti badan induk bola sepak dan persatuan bolasepak negeri anda, yang semuanya berdiam diri.
“Selepas beberapa bulan kemudian, apabila terkena batang hidung sendiri barulah anda semua mula bising. Jangan tidak bersetuju dengan saya kerana anda cemburu dengan apa yang saya ada dalam hidup dan pencapaian saya,” titah baginda. – Kedahnews.com