Transformasi Pendidikan Tingkat Tahap Sosioekonomi Rakyat Semua Kaum

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bergambar kenangan dengan pelajar-pelajar selepas merasmikan SJKT Paya Besar yang ditukar nama SJKT Ko. Saragabani di Jalan Paya Besar, Lunas semalam. - Foto BERNAMA
KULIM – Transformasi kerajaan dalam bidang pendidikan terbukti berjaya meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat pelbagai kaum di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk membangunkan bidang pendidikan berkualiti kerana melihat ia sebagai cara terbaik dalam membangunkan rakyat negara ini tanpa mengira kaum.

Katanya sasaran kerajaan pada masa sekarang adalah untuk membangunkan kumpulan B40 (kumpulan 40 peratus rakyat Malaysia berpendapatan paling rendah), dan pendidikan adalah cara terbaik.

“Dengan cara ini (pendidikan) kita buat sekolah, sedia peluang pendidikan percuma, tambah kualiti pendidikan. Saya percaya melalui usaha gigih kerajaan ini, (kita) dapat lihat transformasi bersama bukan sekadar bidang pendidikan, tetapi (memajukan) juga rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Paya Besar, Lunas, di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Kesihatan yang juga Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.

Najib berkata apabila Dasar Transformasi Nasional diperkenalkan, kerajaan memandang kepada keperluan menangani masalah kumpulan B40 ini.

“Agenda kemiskinan dan kemiskinan tegar hampir selesai, jadi tumpu kepada kemiskinan relatif, di mana pendapatan mereka 40 peratus paling bawah dalam masyarakat kita. B40 mesti jadi tumpuan kita sekarang, selain daripada kumpulan miskin tegar,” katanya.

Najib berkata kaedah seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan kebajikan hanyalah bantuan semasa untuk seketika tetapi kemudahan dalam bidang pendidikan, akan memberi peluang untuk pembangunan diri.

Beliau berkata pendidikan berkualiti akan melahirkan golongan profesional yang mampu meningkatkan sosioekonomi sesebuah keluarga ke tahap lebih baik dan terjamin.

Najib berkata sewaktu ayahanda beliau, Tun Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri, beliau memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru, yang diuar-uarkan ketika itu sebagai langkah pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum.

“(Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum) itu telah dijanjikan pada tahun 1970-an lagi. Jadi sesiapa sahaja tak kira keturunan atau kaum, kalau tergolong dalam kalangan miskin, maka kerajaan perlu lakukan sesuatu untuk membela mereka dan bawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan membangunkan semua sekolah secara berperingkat dengan perancangan besar yang meliputi semua kawasan dan semua kaum akan mendapat faedah.

Najib berkata selain kualiti pendidikan secara am, kerajaan juga ingin melihat aspek pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diberi penekanan, yang merupakan teras utama untuk menjadi negara maju.

“Kalau kita nak jadi negara maju, kita kena ada kekuatan dalam bidang STEM. Saya mintak kita beri tumpuan supaya percentage (penyertaan pelajar dalam STEM) terus bertambah,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata beliau berbangga melihat kejayaan yang dicapai hasil keputusan kerajaan untuk mengiktiraf SJKT sebagai sebahagian sistem pendidikan negara.

“Kelulusan (untuk pembinaan SJKT) pun bertambah kecuali tahun sudah, turun sikit tetapi usaha dilakukan supaya sekolah ini akan bertambah pada masa hadapan. Strategi kita pendidikan sebagai sebahagian daripada keseluruhan usaha untuk bangunkan masyarakat India.

“Saya nak beritahu mesej kepada kaum India, bila kita janji bukan janji kosong tetapi boleh ditepati. Kita dah ada plan bagi komuniti India, ia berjalan dengan baik dan kami melaksanakannya,” katanya.

Pada majlis itu Najib turut mengumumkan nama sekolah SJKT Paya Besar ditukar kepada SJKT Ko Saranggabani, bersempena nama seorang aktivis bahasa Tamil pada tahun 1960-an. – BERNAMA