Umar Al-Khattab Tidak Pernah Bunuh Anaknya Ketika Jahiliyah

SIAPA Zayd bin ‘Amr bin Nufayl? Apa kaitannya dengan khalifah agung Umar bin al-Khattab? Mengapa nama beliau disebut harum oleh para ulama sejarah dan hadis? Bahkan keduanya tergolong dalam kalangan ahli syurga.

Kedudukan Sayidina Umar sebagai seorang daripada 10 orang sahabat ahli syurga memang sudah kita maklum (Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmizi dan Musnad Ahmad). Rupanya Zayd juga dijanjikan syurga sebagaimana sebuah riwayat yang diceritakan ‘Amir bin Rabi’ah r.a.:

“Amir bin Rabi’ah menceritakan Zayd bin ‘Amr pernah berkata kepadanya: Aku menyanggah kaumku (dalam akidah) dan mengikut agama nabi Ibrahim dan Ismail. Mereka dahulunya bersolat ke arah kiblat ini (Kaabah).

Aku sedang menunggu seorang nabi daripada keturunan nabi Ismail yang bakal diutus, namun aku belum menemuinya lagi. Pun begitu aku sudah beriman dengannya, membenar dan bersaksi atas kenabiannya. Jika umurmu panjang (Wahai ‘Amir bin Rabi’ah) maka sampaikan salamku padanya.

Amir menyambung: Setelah aku memeluk Islam, aku menceritakan kepada nabi perihal pesanan Zayd, baginda menjawab salamnya dan mendoakan kerahmatan untuknya sambil berkata: Aku melihatnya (Zayd bin ‘Amr) berada dalam syurga mengheret ekor bajunya (sebagai lambang kebahagiaan dan kemewahan pada orang Arab) - Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani.


Zayd adalah sepupu Sayidina Umar dan ayah kepada Sa‘id bin Zaid yang termasuk dalam 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Beliau meninggal dunia lima tahun sebelum Rasulullah dibangkitkan menjadi Rasul.

Antara keistimewaan lain Zayd adalah beliau sanggup menebus nyawa mana-mana bayi perempuan yang cuba dibunuh oleh bapanya.

Ini disebut dalam sebuah riwayat:
“Asma’ Binti Abu Bakar r.a. pernah melihat Zaid bin ‘Amr bin Nufayl berdiri sambil menyandarkan belakangnya pada dinding Kaabah seraya berkata: “Wahai kaum Quraisy, demi Allah, selain aku nampaknya tiada seorang pun antara kalian yang masih berpegang dengan agama Nabi Ibrahim!”

Zayd juga menebus mana-mana bayi perempuan yang mahu dibunuh oleh bapanya. Zayd akan berkata kepada si bapa yang berhasrat membunuh anaknya: “Jangan kamu bunuh bayi ini. (Serahkannya padaku kerana) Aku akan menanggung kos sara hidupnya.”

Zayd akan membela bayi itu sehingga meningkat dewasa. Setelah anak perempuan itu dewasa Zayd akan menemui bapanya dan berkata: “Jika kamu mahu mengambil kembali anakmu, aku sedia menyerahkannya kepadamu. Dan jika kamu mahu aku sedia menanggung kos saraannya” - Sahih al-Bukhari.
Maha Suci Allah! Sungguh mulia akhlak Zayd. Beliau dan Sayidina Umar berkongsi datuk yang sama iaitu Nufayl. Kedua-duanya berasal dari kabilah Bani ‘Adi yang berbangsa Quraysh dan antara kemuliaan bangsa Quraysh adalah mereka tidak mengamalkan tradisi jahat sesetengah orang Arab Jahiliah yang membunuh bayi perempuan.

Rupanya bukan semua kabilah Arab mengamalkan budaya bunuh bayi perempuan. Bukti paling mudah adalah bagaimana adik perempuan Umar iaitu Fatimah binti al-Khattab yang berasal dari kabilah Bani ‘Adi dan berbangsa Quraysh boleh hidup dan berkahwin dengan suaminya Sa’id bin Zayd.

KELIRU

Lalu bagaimana pula kisah Umar bin al-Khattab membunuh anak perempuannya ketika kecil boleh tersebar meluas?

Ia berpunca dari riwayat ini: 

“Umar r.a.berkata:  “Ada dua perkara (yang aku lakukan) pada zaman jahiliah. Satunya menyebabkan aku menangis, manakala yang satu lagi menyebabkan aku ketawa. Adapun yang menyebabkan aku menangis adalah: 

Aku membawa anak perempuanku untuk menanamnya (hidup-hidup). Lalu aku menggali sebuah lubang untuknya sehingga habis berterabur tanah pada janggutku sedang dia tidak tahu hasratku (mahu membunuhnya). Apabila mengingatinya aku menangis. 

Manakala peristiwa yang menyebabkan aku ketawa adalah aku pernah membuat sebuah berhala daripada buah kurma lalu aku letakkannya pada bahagian kepalaku agar ia mampu menjagaku pada waktu malam. 

Apabila Subuh tiba dengan selamat, aku makan berhala tersebut. Apabila mengingatinya aku ketawa sendiri (kisah ini disebut dalam sesetengah kitab pada tafsiran ayat 8 dan 9 surah al-Takwir tanpa dibawa sanad sandaran kisahnya)".


Oleh kerana kisah ini dinyatakan tanpa sandaran dalil, kita perlu hindarinya demi menjaga nama besar Umar. Pun begitu, ada yang berkeras mempertahankan kisah ini atas alasan ia adalah dosa Sayidina Umar ketika jahiliah yang tidak dihitung selepas seseorang itu memeluk Islam.

Ini disesuaikan dengan sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Islam menutup segala (dosa) yang dilakukan sebelumnya dan (begitu juga) hijrah turut menutup (dosa) yang dilakukan sebelumnya,” - Musnad Ahmad.
Saya lebih selesa menafikan kisah ini kerana ia mampu menjadi peluru bagi pihak musuh menembak wibawa khalifah agung ini. Lagipun apa gunanya mempertahankan sebuah cerita tanpa sandaran kukuh sedangkan mengabaikannya jauh lebih suci dan selamat untuk peribadi Sayidina Umar.

Allah pun menegaskan umat Islam agar meneliti sumber berita agar tiada yang menjadi mangsa. Apatah lagi jika mangsanya manusia berjasa seperti Sayidina Umar.

Imam Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah Wa al-Nihayah ketika mengulas mengenai biodata Umar telah menyenaraikan semua anak, isteri dan hamba wanita Sayidina Umar sama ada yang kekal sehingga mati atau yang diceraikan.

Tidak pula Imam Ibn Kathir sebagai tokoh ilmu Hadis, tafsir dan sejarah membawakan kisah Sayidina Umar menanam anaknya hidup-hidup. Secara logiknya, jika benar ada kisah Umar membunuh anaknya, Imam Ibn Kathir pasti menyebut anak beliau yang terkorban itu semasa jahiliah.

Para isteri Sayidina Umar adalah:

*Zaynab binti Maz’un (perkahwinan pertama Umar pada zaman jahiliah dan melahirkan tiga anak iaitu Abdullah, Abdul Rahman (yang tua) dan Hafsah yang menjadi antara seorang isteri Rasulullah SAW. Hafsah lahir lima tahun sebelum pelantikan Rasulullah SAW di Mekah).

* Jamilah binti ‘Asim bin Thabit bin al-Aqlah, ‘Atikah binti Zayd bin ‘Amru

* Qaribah binti Abi Umayyah (kemudiannya diceraikan oleh Umar), Malikah binti Jarwal (juga diceraikan),

* Ummu Hakim binti al-Harith, Ummu Kalthum binti Ali bin Abi Talib dan dua hamba wanita bernama Luhayyah dan Fukayhah.


Manakala anak beliau adalah Zayd yang besar, Zayd yang kecil, ‘Asim, Abdullah, Abdul Rahman yang besar, Abdul Rahman yang tengah, Abdul Rahman yang kecil, ‘Ubaydillah, ‘Iyadh, Hafsah, Ruqayyah, Zaynab dan Fatimah. 

Inilah kehebatan para ulama hadis seperti Imam Ibn Kathir, beliau menyenaraikan semua anak lelaki dan anak perempuan Sayidina Umar bin al-Khattab. Jika benar ada anak perempuan beliau yang dibunuh ketika jahiliah sudah pasti ia turut disenarai sama.

Juga jika benar Umar pernah membunuh anaknya, sudah pasti Hafsah adalah mangsa pertama kerana beliau adalah anak perempuan sulung Sayidina Umar.

Pesan saya kepada semua, cukuplah menyebar “kisah buruk” terhadap khalifah agung ini walaupun atas nama teladan. Kemuliaan beliau dan sepupunya Zayd bin ‘Amr bukan dikekal harum secara kebetulan oleh Allah, tetapi mempunyai pengajaran kepada kita agar kemuliaan akhlak mereka berdua diikuti oleh semua.

Jangan nama keduanya menjadi busuk hanya dengan cerita-ceriti yang tiada sandaran. Apa pun, jika masih ada yang tegar mahu mengatakan “benar Sayidina Umar pernah membunuh anak perempuannya semasa jahiliah” usahlah kita bertegang urat bergaduh mengenainya kerana ia bukanlah isu pokok dalam Islam.

Cuma pesan saya, siapkan hujah anda ketika bertemu dengan manusia agung ini di akhirat kelak. Ya Allah! Selamatkanlah kami daripada menyebar berita tidak sahih berkaitan insan mulia yang sudah lama menempah tiketnya ke syurga.

Sumber: Utusan