Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail |
PERGOLAKAN politik Kedah diibaratkan selesai sejurus berlakunya pertukaran menteri besar yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 3 Februari lalu.
Namun natijah pertukaran itu masih dirasai rakyat Kedah, yang tidak mendapat gambaran sebenar berhubung kemelut dalam parti berkenaan. Kesannya, protes secara terbuka ditunjukkan sebagai reaksi marahkan parti, malah berterusan dikecam netizen di laman sosial.
Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail yang juga Exco kerajaan negeri dalam satu wawancara dengan media berkongsi pandangan berhubung krisis politik yang melanda Kedah baru-baru ini.
Soalan: Pertukaran menteri besar seolah-olah mencuit keamanan dalam parti apabila kesannya wujud dua kem, yang memihak kepada Ahmad Bashah dan satu pihak setia dengan kepimpinan Mukhriz. Mampukah parti berdepan situasi ini berikutan PRU14 makin hampir?
Peralihan pucuk pimpinan negeri bukan perkara baharu di Kedah dan pernah berlaku sebelum ini, sama ada melalui pilihan raya umum atau pelbagai faktor lain.
Antaranya, peralihan kuasa antara Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakhbah kepada Datuk Seri Mahdzir Khalid pada tahun 2005, berdasarkan faktor kesihatan menteri besar.
Selepas itu, ekoran tsunami politik PRU12 menyaksikan Kedah jatuh ke tangan pembangkang dan Tan Sri Azizan Abdul Razak dilantik sebagai menteri besar, sebelum Mukhriz kembali merampas takhta itu dalam PRU13.
Apabila berlaku pertukaran pucuk pimpinan pada 1996, membabitkan menteri besar keenam, Tan Sri Osman Aroff dan menteri besar ketujuh, Tan Sri Sanusi Junid, ketika itu ia dianggap ‘krisis besar’ dan mengejutkan. Ketika itu, 22 Adun menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak Sanusi dan mahu Osman dikekalkan, namun ketegasan Tun Dr Mahathir menyebabkan mereka akur.
Namun apa yang berlaku tahun ini, situasinya terbalik, Mukhriz hilang sokongan majoriti 21 Adun yang mahukan perubahan pucuk pimpinan. Saya akui ambil masa untuk redakan keadaan itu, ia bukan perkara mudah untuk diterima. Namun akhirnya semua ahli kembali bersatu demi parti, bukan lagi individu ketika menjelangnya PRU.
Soalan: Bagaimana Umno Kedah mahu menyatukan kem-kem ini agar kembali bersatu sebelum PRU14?
Saya akui apabila perubahan berlaku, pastinya setiap pemimpin itu ada pengikut tersendiri. Mukhriz menjadi menteri besar sejak Mei 2013, hampir tiga tahun dan pastinya ada pengaruh tertentu dari kalangan ahli Umno dan rakyat.
Tambahan beliau amat disukai golongan muda. Apabila pertukaran tidak dapat dielak, ada yang kecewa dan bantah sehingga protes antaranya terbalikkan bendera dan sebagainya.
Saya jangkakan situasi akan reda namun ambil sedikit masa. Perkara paling penting ialah pemimpin kawasan perlu berikan penjelasan kepada ahli dan rakyat.
Ketua Umno Bahagian masing-masing sudah mula turun padang memperjelas situasi yang berlaku. Ini pendekatan terbaik kerana jika akar umbi tidak faham isu sebenar, akan merumitkan keadaan.
Soalan: Datuk tegaskan perlukan sedikit masa untuk kembali redakan keadaan, sempatkah Umno Kedah berbuat demikian dalam tempoh PRU berbaki dua tahun?
Kena bagi sempat! Imbas kembali situasi di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri (September 1998) dan PRU diadakan November 1999, dalam tempoh hanya sekitar setahun dua bulan.
Ketika itu, pengaruh Anwar begitu besar dan tindakan itu dipertikai ahli. Saya ketika itu adalah Ketua Penerangan Umno Bahagian Jerai, disembur ahli bertanyakan apa berlaku? Hingga ada ugut tidak mahu lagi sokong Umno.
Saya ambil pendekatan dengar suara akar umbi terlebih dahulu sebelum perjelaskan isu sebenar. Tun Dr Mahathir berani ambil risiko dan tidak mahu tunggu lama biarpun PRU terlalu hampir, pemecatan boleh ditangguh, namun beliau berani ambil risiko.
Kesannya, pada PRU, BN terlepas Terengganu dan hilang banyak kerusi namun masih kekal 2/3 majoriti.
Sekarang pemikiran rakyat dan sosial media berubah, saya yakin Umno Kedah sempat lakukan sesuatu dengan turun ke akar umbi, buat perancangan rapi dan strategi berkesan. Saya percaya rakyat dan ahli parti akan faham apa sebenarnya berlaku.
Soalan: Tindakan menggugurkan menteri besar dengan menyatakan hilang sokongan pada sidang media tergempar 20 Januari lalu, adakah itu pilihan terakhir?
Majoriti Adun BN bertindak atas rasional tertentu dan perkara itu perlu dihormati. Kita hormati pendirian masing-masing, mereka yang sokong mahukan perubahan juga perlu dihormati atas sebab tersendiri.
Akhirnya proses pertukaran berlaku dengan undian sulit di hadapan Jemaah Pemangku Sultan Kedah, yang saya sifatkan kaedah terbaik dan demokratik. Apa jua keputusan pada sidang media itu berdasarkan kepada kepentingan negeri dan rakyat, bukan soal siapa salah siapa benar.
Jika situasi dibiarkan berterusan seperti sebelum itu, kita bimbang apa akan berlaku kepada ekonomi Kedah, projek yang dirancang termasuk peruntukan dari Pusat. Kedah bukan negeri kaya seperti negeri lain, pendapatan kita sekitar RM700 juta, perlukan bantuan Pusat untuk rancakkan pembangunan.
Itu tidak termasuk agenda bukan dalam bajet negeri, seperti baiki sekolah, tebatan banjir atau projek khas Rubber City. Ia beri kesan kepada negeri dan keputusan segera perlu dibuat, bukan kerana tidak sukakan individu tertentu. Ini bukan isu peribadi tetapi keperluan semasa demi menjaga kepentingan negeri dan rakyat. Jika kita perjelas rakyat akan faham.
Tidak boleh dibiarkan berlarutan, keputusan perlu dibuat segera dan itulah jalan terbaik.
Soalan: Bagaimana jika rakyat masih tidak dapat terima cara Mukhriz digugurkan, adakah kemungkinan berlaku sabotaj menolak Adun terlibat pada PRU14, selain ahli mula ketepikan kesetiaan terhadap parti?
Wakil rakyat datang dan pergi, mungkin PRU akan datang saya tak lagi bergelar Adun. Bukan kepentingan kami yang diberi keutamaan, kedudukan negeri yang menjadi pendorong kerana selaku wakil rakyat, kebajikan rakyat perlu dijaga dan kita juga tidak mahu jejas kedudukan kewangan negeri.
Masih ramai rakyat belum tahu implikasi terhadap negeri, mereka hanya tahu maklumat atas permukaan sahaja. Secara peribadi saya tiada masalah dengan Mukhriz. Namun faktor kawan bukan lagi menjadi persoalan, kerana kepentingan negeri perlu diutamakan. Itu tugas seorang wakil rakyat.
Mungkin rakyat kurang senang dengan cara penurunan itu, namun selaku ahli parti, kami mempunyai struktur kepimpinan parti dan perlu akur keputusan kepimpinan tertinggi.
Kesetiaan terhadap parti perlu ada dalam apa jua situasi. Kemelut dalam parti ketika itu sudah klimaks, tidak boleh bendung lagi, masa juga suntuk.
Ibarat tunggu masa sahaja meletup kerana sudah mula mendidih sedikit demi sedikit. Kami pun tidak selesa jika keadaan berterusan, sebolehnya mahu tiada masalah antara Pusat dan negeri agar pentadbiran lancar.
Kami nekad perlu lakukan sesuatu sebelum PRU, risiko tetap ada namun perlu bijak tanganinya untuk jangka pendek ini, kerana mungkin untuk jangka panjang, risikonya lebih besar.
Sumber: Sinar Harian