Ustaz Kazim Elias Sudah Dibenarkan Keluar Wad HUSM

Kazim (tengah) ketika sidang media di HUSM, Kubang Kerian pagi tadi.
KOTA BHARU - Pendakwah tersohor Datuk Mohd. Kazim Elias, hari ini dibenarkan keluar wad selepas menjalani rawatan susulan berhubung masalah jantung, setelah empat hari dirawat di unit rawatan koronari (CCU) Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

Kazim ‎kelihatan masih lemah, namun mampu tersenyum dan atas nasihat pakar beliau perlu menjalani rawatan susulan dan berehat selama enam minggu dari sebarang aktiviti ceramahnya.

Menurut Kazim, beliau tidak menyangka mengalami masalah jantung kerana sebelum ini beliau bebas dari penyakit itu dan sering menjalankan pemeriksaan berkala.

"Seminggu sebelum kejadian, saya ada rasa sakit belakang dan tidak boleh tidur malam, namun tidak sangka ia berkaitan jantung.

"Saya masih teruskan ceramah dalam keadaan tidak sihat, namun selepas mengetahui saya mempunyai masalah jantung ini, mungkin saya perlu berehat dengan cukup dan lebih fokus terhadap kesihatan saya,"katanya.

Kazim turut mengharapkan semoga kesihatannya bertambah baik dan meminta rakyat mendoakan beliau supaya dapat meneruskan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat.

Sumber: Sinar Harian