Virus Zika: KKM Keluar Garis Panduan Komprehensif Minggu Depan


SEREMBAN – Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan garis panduan komprehensif mengenai kawalan dan pencegahan Virus Zika dalam sehari dua lagi, kata Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan hasrat melancong ke Amerika Selatan buat masa ini kerana negara itu kini mengalami penularan virus Zika.

“Kita akan keluarkan garis panduan yang merangkumi kawalan, pencegahan termasuk kawalan pembiakan nyamuk aedes. Apa yang membimbangkan ialah Virus Zika disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor sama bagi demam denggi yang sememangnya ada dalam negara.

“Jika Virus Zika menular ke negara ini, ia akan merebak dengan cepat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Kesedaran Kalori di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya di R&R Seremban di sini, hari ini.

Kempen itu dilancarkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dr Subramaniam berkata antara fokus utama kementerian ialah mencari langkah mencegah pembiakan nyamuk Aedes kerana ia dilihat dapat mencegah penularan Virus Zika dan demam denggi.

Beliau berkata virus itu tidak menunjukkan sebarang simptom jelas seperti demam denggi, yang menyukarkan Kementerian Kesihatan melakukan ujian saringan kesihatan umum di pintu masuk negara.

“Mereka yang dijangkiti virus ini kelihatan seperti orang sihat… jadi, apabila tiada simptom sudah pasti individu yang dijangkiti tidak akan mendapatkan rawatan.

“Apabila nyamuk menggigit seseorang dan menggigit individu lain selepas itu, di situlah risikonya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengisytiharkan virus itu kini menjadi isu kesihatan kecemasan dalam aspek kesihatan awam antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan kelaziman obesiti dalam kalangan dewasa berusia 18 tahun ke atas di negara ini telah meningkat dengan mendadak iaitu daripada 4.4 peratus pada 1996 kepada 14 peratus pada 2006.

“Ia terus meningkat kepada 15.1 peratus pada 2011 dan 17.7 peratus pada 2015. Kelaziman berat badan berlebihan dalam kalangan dewasa pula adalah 30.3 peratus dan jika dijumlahkan kedua-dua prevalans didapati hampir separuh rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

“Dalam masa sama, hampir separuh daripada orang dewasa di negara ini (47.7 peratus) mempunyai paras kolestrol yang tinggi atau hypercholesterolemia pada tahun lepas,” katanya.

Kos perbelanjaan kesihatan bagi rakyat Malaysia dianggarkan antara RM45 bilion dan RM46 bilion setiap tahun. – BERNAMA