Wanita Bantu Warga Emas Cuci Najis Menang Tempat Pertama Anugerah


SINGAPURA – Seorang wanita Melayu dan ibu tunggal kepada lima orang anak, Noriza A. Mansor dipilih sebagai pemenang pertama “Anugerah Warga Singapura” anjuran akhbar The Straits Times untuk tahun 2015.

Dia mencipta nama pada Oktober 2014 apabila menghulurkan bantuan kepada seorang warga emas yang terbuang air besar sewaktu membeli barang keperluan dapur bersama-sama dengan isterinya yang berkerusi roda.

Atas budi baiknya itu, Noriza diumumkan sebagai penerima sulung anugerah tersebut yang berupa trofi dan wang tunai S$20,000 (RM58,900) daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di sini pada Selasa.

Tindakan jurujual selimut tersebut berjaya membantu untuk membersihkan najis pada kaki Tan Soy Yong dan dia malah membelikannya sepasang seluar baru, sebelum berita itu mendapat perhatian luas media tempatan.

Insiden berlaku di sebuah pasar raya di Toa Payoh itu menarik minat 15 panel hakim untuk memilih wanita ini sebagai pemenang utama dalam majlis penganugerahan yang berlangsung di UBS Business University di sini.

Sehingga hari ini, Noriza masih kerap lagi mengunjungi Tan dan pasangannya, Lee Bee Yian; kedua-duanya berusia 76 tahun itu walaupun mereka sudah berpindah ke sebuah pusat rawatan khas untuk golongan tua.

Dia berhasrat membelanjakan sebahagian wang tunai daripada anugerah itu untuk mengubah suai flat empat bilik miliknya di Tampines manakala baki selebihnya untuk kegunaan masa depan anak-anaknya pula kelak.

Noriza yang kini berumur 50 tahun bahkan menewaskan sembilan individu lain yang turut dicalonkan kerana sumbangan luar biasa mereka kepada masyarakat di Singapura. – Agensi