Walaupun semakin berusia tetapi Jam tetap meneruskan pekerjaannya menghasilkan bedak sejuk. |
AIR HITAM - Biarpun sudah memasuki usia emas, namun ia tidak menghalang seorang penduduk di Kampung Mahang, di sini untuk terus mengusahakan bedak sejuk sebagai pendapatan utamanya.
Jam Abdullah, 79, berkata, dia sangat gemar menggunakan bedak sejuk sejak kecil lagi kerana kelihatan cantik dan tidak mendatangkan kesan sampingan kepada kulitnya.
Menurutnya, bermula dari situ dia mula mempelajari cara membuat bedak sejuk daripada neneknya, Zainah Awang hinggalah menjadikan produk kecantikan tradisional itu sebagai pendapatan sampingan keluarganya sejak 1990-an lagi.
"Mulanya saya hanya buat bedak sejuk untuk kegunaan sendiri tapi lepas digunakan anak cucu hinggalah turut dibeli jiran.
"Bila orang kampung mula menempah bedah sejuk, saya mula usahakan secara komersial dan pasarkan hingga ke Pekan Rabu," katanya.
Jam berkata, sambutannya sangat menggalakkan dan secara tidak langsung dapat menambah pendapatan suami yang hanya bekerja sebagai petani di kawasan Mada ini.
"Walaupun bedak baru banyak keluar di pasaran tapi bedak sejuk masih lagi dapat permintaan," katanya.
Katanya, bedak sejuk yang diusahakannya itu menggunakan beras yang direndam selama tiga bulan dan menukar air beberapa kali bagi menghasilkan bedak yang baik serta tidak gatal.
"Selepas dititik, bedak itu akan dijemur selama dua hari supaya benar-benar kering dan tidak memberi kesan gatal pada kulit. Selalunya saya tak campurkan bedak itu dengan bahan lain seperti bunga untuk bagi bau wangi.
"Saya lebih suka jual bedak sejuk tanpa wangian kerana ada pelanggan mahu tanpa bau," katanya.
Kemahirannya membuat bedak sejuk turut dihargai beberapa agensi kerajaan apabila sering menjemputnya membuat pertunjukan sekali gus dapat memperkenalkan hasil tangannya kepada orang ramai.
Bagaimanapun dengan usianya yang semakin tua itu telah menghalangnya meneruskan lagi kerjayanya itu apabila sering menghadapi sakit urat terutamanya pada kakinya.
"Saya tak mampu lagi duduk lama untuk menitik bedak dan ini juga jejaskan pengeluaran hingga terpaksa tolak permintaan sesetengah pihak," katanya.
Malah katanya, dia juga kecewa kerana tiada anak dan cucu yang berminat mewarisi pekerjaan yang saya ceburi hampir 50 tahun ini.
"Mereka tak berminat kerana dikatakan sangat rumit dan ambil masa lama untuk hasilkannya," katanya.
Sumber: Sinar Harian