Warung Bang Teh: Semua Makanan Harga RM3 Sahaja...


BIARPUN hanya warung kecil, namun perniagaan yang diusahakan oleh seorang anak muda di Jalan Padang Nyu, Kampung Kerisek, di sini mampu menarik ramai pelanggan.

Mengetengahkan menu utama kueytiaw sup Thai dan pulut ayam, Warung Bang Teh milik Mohd Husni Mustafa, 29, ini turut menyediakan laksa, laichikang dan ais kacang.

"Semua makanan di sini saya jual dengan harga RM3 dan air dijual dengan pelbagai harga.

"Saya memang suka masak dan kesemua menu yang dihidangkan adalah hasil resipi saya sendiri," katanya. 

Mohd Husni berkata, dia pernah gagal beberapa kali dalam dunia perniagaan makanan, namun tidak pernah serik untuk memulakannya kembali.

"Selepas tamat belajar di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), saya jual air kelapa di tepi jalan selama setahun enam bulan.

"Wang simpanan meniaga air kelapa saya guna buka kedai nasi berlauk tapi hanya bertahan tiga bulan saja," katanya.


Katanya, dia terpaksa menutup perniagaan nasi berlauk kerana tidak mendatangkan untung.

"Saya pun berhenti berniaga sebab habis modal dan mula kerja di kilang simen.

"Hingga hari ini dah lima tahun saya kerja di kilang simen dan pada bulan lalu saya ambil keputusan untuk buka warung ini," katanya.

Tambahnya, dia menghabiskan kira-kira RM3,000 untuk membuka warung berkenaan.

"Alhamdulillah dalam tempoh sebulan saya dapat untuk lebih dari modal yang dilaburkan," katanya.


Malah katanya, dia turut mengiklankan warungnya itu di dalam media sosial seperti Facebook.

"Saban hari saya tak menang tangan melayan pelanggan dan terpaksa ambil pembantu.

"Setakat ini saya ada empat pekerja dan Insya-ALLAH saya merancang untuk menambahnya jika perniagaan bertambah maju," katanya.

Warung Bang Teh dibuka setiap hari kecuali Selasa bermula dari jam  11 pagi hingga 9 malam.