"Wawasan 2020 Gagal Disebabkan Oleh Dr Mahathir Sendiri" - Bekas TPM

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam
ALOR SETAR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam mendakwa, Tun Dr Mahathir Mohamad lupa bahawa jika Wawasan 2020 mahu dijayakan beliau perlu melatih pemimpin di semua peringkat terutamanya pemimpin politik.

Kerana kegagalan itulah maka Musa menyalahkan Dr Mahathir sekiranya Wawasan 2020 yang dicetuskan bekas Perdana Menteri itu di zaman pemerintahannya gagal dicapai oleh kerajaan sedia ada.

“Adalah ironi Wawasan 2020 pasti gagal kerana Dr Mahathir sendiri.

"Sebijak mana pun beliau, Dr Mahathir lupa bahawa untuk berjaya beliau perlu melatih pemimpin dari semua peringkat terutamanya di kalangan pemimpin politik,” katanya pada majlis memperingati ulang tahun ke-113 Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman semalam.

Wawasan 2020 sebelum ini telah diumumkan oleh Tun Dr Mahathir ketika membentangkan Rancangan Malaysia Keenam pada tahun 1991 yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Namun, menurut Musa rekod kepimpinan Tun Dr Mahathir mempamerkan bekas Perdana Menteri itu telah menyingkirkan ramai pemimpin berpotensi dan hanya mengekalkan pengikut setia.

"Pengikut ini dilatih untuk berdedikasi dan setia kepada sesiapa yang duduk di bahagian paling atas.

“Prinsip itu mudah sahaja...mereka hanya perlu setia jika mahu terus 'hidup',” katanya yang dipetik dari Astro Awani.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menerusi blognya senada mengatakan bahawa Wawasan 2020 mustahil untuk dicapai kerana Tun Mahathir gagal mengambil kira krisis kewangan apabila mencetuskan idea itu. -Kedahnews.com