ALOR SETAR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam berkenan berangkat menziarah jenazah bekas Speaker Dewan Undangan Kedah Datuk Paduka Abdullah Ismail yang meninggal dunia semalam kerana sakit tua.
Tuanku Abdul Halim yang juga Sultan Kedah, dengan diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tiba di kediaman Allahyarham di Jalan Mahkota di sini pada kira-kira 9 pagi.
Turut berangkat, Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri Datin Seri Hizam Awang Ahmad turut hadir.
Baginda berdua meluangkan masa kira-kira 20 minit di rumah Allahyarham serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Abdullah, 89, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada kira-kira 4.30 petang kelmarin.
Lebih dikenali sebagai Datuk Lah Fendi, Allahyarham memegang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah sekitar 1990-an serta merupakan teman rapat baginda terutamanya dalam sukan golf.
Allahyarham juga pernah menjawat jawatan Exco kerajaan negeri selama dua penggal pada 1990-an.
Allahyarham meninggalkan isteri Datin Che Amah Putih, 69, dan tiga anak lelaki serta tiga anak perempuan berusia 44 hingga 60 tahun.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Ruat, Yan pada kira-kira 11 pagi semalam untuk dikebumikan. – BERNAMA