Gambar Hiasan |
GEORGE TOWN – Sebanyak 14 wanita warga asing ditahan kerana menjalankan aktiviti bersosial bersama pelanggan untuk mendapatkan ‘upah’ di sebuah medan selera di Lorang Madras di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata mereka yang ditahan dalam operasi pada 11.45 malam itu terdiri daripada sembilan wanita dari China dan lima Vietnam, berumur antara 25 dan 46 tahun.
“Semua wanita itu ditahan kerana disyaki melanggar syarat pas lawatan sosial dan aktiviti kurang sihat itu dikhuatiri boleh mendorong kepada aktiviti maksiat,” katanya di sini Isnin.
Beliau berkata medan selera berkenaan telah diserbu Rabu lepas (23 Feb) yang menyaksikan 15 wanita asing ditahan atas kesalahan sama.
Polis akan terus memantau kegiatan itu dari semasa ke semasa dalam usaha membendung kegiatan wanita asing bersosial bersama pelanggan untuk mendapatkan upah, katanya. – BERNAMA